PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri bersedia mengatasi kebimbangan lebih 700 ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) untuk menyelesaikan masalah Rumah Pena yang dikatakan mula dikenakan bayaran sewa.
Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, komitmen itu dizahirkan sebagai menyokong usaha Pena membangunkan kesusasteraan kebangsaan dan memartabatkan Bahasa Melayu.
Beliau berkata, status Rumah Pena ketika ini merupakan kuarters kerajaan yang dipinjam untuk kegiatan kesenian dan kesusasteraan sejak persatuan itu ditubuhkan pada 1961.
“Saya sendiri akan menyemak perkara ini kerana pada hemat saya agak tidak munasabah untuk mereka yang berkhidmat secara sukarela kepada negara dikenakan sewa sedemikian.
“Saya juga berjanji akan mengusahakan dana dari Pejabat Perdana Menteri bagi membolehkan Pena melangsungkan program-program yang dirancang dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rumah Pena dikatakan telah dibaik pulih pada tahun 2012 selepas menerima dana daripada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kini Rumah Pena semakin kerap rosak akibat serangan anai-anai dan cuaca sekali gus bebanan semakin bertambah apabila pihak Bahagian Pengurusan Hartanah di Putrajaya mengenakan sewa bulanan sebanyak RM3,550 sebulan, bermula pada Mei lalu.
Terdahulu, Kamarul merasmikan majlis Malam Baca Puisi anjuran Pena di Pentas Utama Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.
Baca Puisi Pena sudah berlangsung selama 23 tahun pada setiap Jumaat pertama setiap bulan di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur (kecuali pada waktu pandemik).
Pada majlis itu, bacaan puisi, sajak dan syair dari lebih 20 pemuisi, penyajak dan penyair tersohor negara diperdengarkan.
Kamarul berkata, sumbangan Pena dengan kekuatan lebih 700 ahli dari seluruh negara mampu menjadi tenaga penggerak bagi membangkitkan jati diri dan kesenian Melayu.
Jelasnya, perjuangan sukarela mereka yang tidak mengharapkan balasan di dalam bidang yang tidak menjanjikan pulangan lumayan amat wajar dihargai dan diteruskan oleh generasi muda. – UTUSAN