tingkat daya tahan

MyNap tingkat daya tahan hadapi perubahan iklim

ISMAIL Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) sebagai antara langkah bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu antara perkara yang dicapai ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia secara dalam talian, semalam.

Kata beliau, keputusan itu diambil berikutan Malaysia terdedah kepada impak perubahan iklim seperti hujan lebat yang mengakibatkan fenomena banjir besar.

Jelas beliau, ini kerana iklim Malaysia berkelembapan tinggi di samping bentuk muka buminya yang turut menyumbang kepada fenomena tersebut.

“Antara tindakan yang akan dilaksanakan ialah membangunkan MyNap yang merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang dan strategi pembangunan kebangsaan untuk sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti.

“Selain itu, kita menggalakkan kerajaan negeri untuk mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim dan mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek-projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, mesyuarat yang diadakan semalam turut membincangkan tentang cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara-acara besar.

Beliau berkata, inisiatif tersebut dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pemba­ngunan ekosistem kende­raan elektrik di negara ini selain mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) secara berkesan.

Kata beliau, ia juga berpotensi menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan hijau serta menjimatkan subsidi bahan api oleh kerajaan.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia.

“Kerangka ini memberi penekanan kepada kepenti­ngan dan kelebihan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon dilaksanakan secara telus, sekali gus menepati piawaian antarabangsa serta menyumbang terhadap sasaran pengurangan pelepasan GHG negara,” jelas beliau.

Jelas Ismail Sabri, KASA ketika ini sedang membangunkan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Negara selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih seawalnya pada 2050. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya