Muhyiddin bincang persefahaman PRU15, bukan mahu jadi PM

Muhyiddin bincang persefahaman PRU15, bukan mahu jadi PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Sebaliknya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan, sebaliknya dibincangkan dalam siri pertemuan bersama beberapa pimpinan parti politik selain BN untuk merintis persefahaman menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti-parti pembangkang yang menemui saya selepas pilihan raya negeri Johor. 

“Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN.

“Ini kerana kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata-mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah. BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin telah menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau mendapat sokongan 119 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

Menurut Muhyiddin, beliau mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti-parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu.

Jelas beliau, inisiatif ini saya ambil setelah mendapat persetujuan Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti.

“Formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik. 

“Tujuan persefahaman ini adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN sepertimana yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor,” jelas beliau.

Muhyiddin menjelaskan electoral pact itu mesti diasaskan kepada satu agenda bersama (common agenda) untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai oleh kumpulan kleptokrat yang pada masa ini menguasai parti BN. 

“Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.

“Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti-parti politik selain BN, saya mengambil maklum tentang pendirian setiap parti berhubung cadangan ini.

“Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini. Justeru, saya mengambil sikap yang terbuka,” katanya.

Beliau menjelaskan itu adalah sebahagian daripada proses perundingan antara parti yang berlangsung secara tidak rasmi. 

“Pintu rundingan Bersatu sentiasa terbuka kepada parti-parti selain BN untuk mencapai kata sepakat mengenai formula yang terbaik bagi menghadapi PRU-15,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN