KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia menyatakan peguam senior, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah lebih berkelayakan dan berpengalaman berbanding Queen’s Counsel, Jonathan Laidlaw.
Menurut Setiausaha Majlis itu, Anand Raj, Muhammad Shafee dan pasukan peguamnya telah terlibat dengan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Beliau (Laidlaw) tidak mempunyai kelayakan mahupun pengalaman khas dalam sistem perundangan dan sistem jenayah Malaysia serta jurispredens lain yang berkaitan dan diperlukan dalam rayuan tersebut,” katanya.
Raj berkata demikian dalam afidavit yang difailkan bagi membantah permohonan Laidlaw untuk menjadi peguam bela Najib dalam rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu berhubung kes penyelewengan dana SRC International yang akan didengar Ogos ini.
Permohonan Laidlaw untuk diterima masuk akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid pada 6 Julai ini.
Pada 25 Januari lalu, peguam bela utama Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon agar Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.
Menurut Muhammad Shafee, permohonan tersebut dibuat atas dakwaan QC mempunyai lebih berpengalaman untuk mengendali rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan sangat kompleks dan melibatkan isu-isu perundangan yang baru.
Raj dalam afidavitnya turut menegaskan terdapat seramai 21,659 peguam di Malaysia yang berpengalaman untuk dipilih untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir itu.
Ujarnya, selepas 65 tahun mencapai kemerdekaan, kekuatan Badan Peguam telah meningkat dari segi jumlah dan kualiti peguam tempatan.
“Pemohon (Laidlaw) tidak memenuhi kriteria yang termaktub dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976. Pemohon tidak menunjukkan sebarang pengetahuan atau kebiasaan dengan perkembangan akta-akta tempatan mahupun amalan, prosedur dan sistem perundangan Malaysia,” kata Raj.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib. – UTUSAN