KUALA LUMPUR : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL selama sebulan bermula hari ini.
Ia membabitkan iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL.
Perdana Menteri mengumumkan demikian dalam Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, pihaknya memahami kesusahan rakyat dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup semakin meningkat.
Justeru, katanya, pengumuman berkenaan dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat pada hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang dua juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya.
“Pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya dijangka mencatat bilangan awal penumpang harian melebihi 104,000 orang.
“Ini diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur,” katanya.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer meliputi 12 stesen antaranya Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.
Fasa Satu ini akan mempunyai 20 set tren yang beroperasi secara automatik dan tidak memerlukan pemandu dengan setiap set tren mempunyai empat gerabak yang boleh memuatkan seramai 1,200 penumpang.
Kemudahan baharu itu menyediakan tempat meletak kereta di tujuh stesen dengan jumlah tempat letak kereta lebih 2,800 petak. –UTUSAN ONLINE