Mohd. Shafie dakwa ADUN Kukusan terima imbuhan - Utusan Malaysia

Mohd. Shafie dakwa ADUN Kukusan terima imbuhan

ORANG ramai menyambut ketibaan Mohd. Shafie Apdal pada Rumah Terbuka Kaamatan Warisan di Kota Belud hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal menerima imbuhan sehingga mendorongnya keluar parti.

“Saya difahamkan dia sudah sign (tandatangan), saya tidak tahu apa dokumen. Tidak tahu berapa dia dapat, tidak boleh dielak,” katanya semasa mengulas keputusan ADUN Kukusan keluar parti.

Susulan itu, ADUN Kukusan itu akan turut dikenakan tindakan yang sama dengan ADUN Warisan lain yang keluar daripada parti sebelum ini.

Beliau berkata, sebahagian ADUN Warisan yang bertindak keluar parti sebelum ini telah diheret ke mahkamah kerana perjanjian yang mereka tandatangani semasa menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, kepimpinan parti banyak membantu Rina untuk memenangi kerusi DUN tersebut. Jika dilihat, pada PRN lalu, Rina menang tipis dengan 10 undi.

“Dia (Rina) tahu kita bertungkus lumus membantunya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman sanggup korban, tumbangkan kakaknya yang bertanding melawan Rina.

“Banyak pengorbanan dalam Warisan kerana ingin melihat perubahan berlaku di negara kita. Kalau kita hanya berlandaskan pendekatan yang sama daripada dahulu sampai sekarang, saya yakin Malaysia tidak akan dapat dilonjakkan.

“Di negara jiran perubahan kepimpinan yang berlaku membolehkan Indonesia menjadi negara contoh di rantau Asia, takkan kita tak boleh. Ini membabitkan persoalan tentang kepimpinan,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sudah sampai masa dan ketikanya, rakyat di negara ini perlu sedar dan melakukan perubahan drastik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya yakin perubahan drastik yang berlaku mampu meletakkan negara Malaysia pada landasan yang betul dengan sistem reformasi yang ada,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, di peringkat bahagian Kalabakan, Warisan masih kekal teguh biarpun ada berbagai langkah diambil untuk menekan dan melemahkan Warisan.

Hari ini, ADUN Kukusan yang juga Naib Ketua Wirawati Warisan itu mengumumkan meletak semua jawatan di dalam parti bagi meneruskan perjuangan politiknya di bawah Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) iaitu parti yang mesra kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN