PETALING JAYA: Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd. Ali mendahului senarai 1,021 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Selain itu, bekas menteri Kabinet dan bekas menteri besar serta bekas ketua menteri antara 18 individu menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.
Mereka ialah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Osu Sukam; bekas Menteri Kesihatan dan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta bekas Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan; bekas Menteri Pendidikan Tinggi dan juga Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh serta bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Selain itu, turut menerima PSM adalah tiga pegawai kanan perkhidmatan awam iaitu Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Dr. Azmi Rohani.
Turut menerima darjah PSM ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Antara menerima PSM iaitu Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, Datuk Low Kian Chuan; Presiden dan Pengarah Eksekutif Malayan Banking Berhad, Datuk Seri Abdul Farid Alias; Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengarah Eksekutif United U-Li Corporation Berhad, Datuk Lee Yoon Kong serta Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
Tahun ini juga menyaksikan 23 individu menerima darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan tiga dianugerahkan Panglima Setia Diraja (PSD) yang masing-masing membawa gelaran Datuk.
Sebanyak 48 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) manakala bagi darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM), sebanyak 67 individu disenaraikan sebagai penerima termasuk bekas Juruiring Perdana Menteri, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.
Penerima tunggal bagi Darjah Johan Setia Diraja (JSD) dikurniakan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Muhammad Abdul Halim.
Seramai 183 individu dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia, Kuan Chee Heng, tujuh menerima Kesatria Setia Diraja (KSD), 250 individu menerima Ahli Mangku Negara (AMN), 377 menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 43 individu menerima Bentara Setia Diraja (BSD). – UTUSAN