Hembusan angin pantai menyapa pipi. Bunyi ombak menghempas pantai juga menyambut kedatangan kami. Ini kali pertama kami menjejakkan kaki di bumi Desaru, Johor. Maka, Anantara Desaru Coast Resort menjadi pilihan.
Perjalanan kami ke Anantara Desaru Coast Resort cukup menyenangkan. Sebenarnya, kami ingatkan Desaru ini tidaklah sejauh mana. Macam ke Muar sahaja. Tetapi rupanya perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa hampir empat jam.
Tiba di Anantara, mata kami terkunci seketika melihat pemandangan indah daripada pintu gerbang hotel tersebut. Seni binanya cukup mengagumkan. Ditambah pula dengan angin pantai yang menyapa, memang asyik sekali!
Kami bergegas ke bilik yang sudah ditempah. Kalau boleh, tidak mahu membazirkan hatta seminit di sini. Memasuki ruang kamar, kebersihan dan keluasan mencuri perhatian kami berdua.
Malah, binaan bangunan yang menghadap laut membenarkan semua penginap menikmati keindahan alam semula jadi. Jika di resort lain, ada yang menawarkan garden view atau sea view, tetapi di hotel mewah ini, laut adalah peneman mata.
Berkongsi pengalaman di Deluxe Sea View Room, ruang mandi dan tidur dipisahkan dengan dinding kayu yang memberi vibes seperti di rumah kampung yang mewah. Malah, kebanyakan hiasan dalaman dalam kamar bercirikan kemelayuan dan kekayuan.
Dengan 108 bilik, vila dan kediaman, menariknya di Anantara, anda boleh memilih untuk menikmati masa lapang dengan bermandi di dua kolam renang yang disediakan. Malah salah satunya adalah infinity pool.
Berbasikal beriadah
Menjelang malam, kami mengambil kesempatan untuk beriadah dan ronda-ronda dengan mengayuh basikal sekitar Anantara. Sempat juga kami melihat beberapa kediaman vila yang terdapat di sini.
Mana tahu, satu hari nanti kami akan berpeluang untuk tidur di situ pula. Menariknya, setiap vila didatangkan dengan ciri-ciri privasi dan eksklusif untuk memberi ruang peribadi kepada setiap pengunjung.
Malah, ruang kolam renang mini secara peribadi juga disediakan di setiap vila bagi memberi keselesaan kepada penginap untuk beriadah bersama keluarga.
Kami mengambil masa hampir satu jam mengelilingi Anantara. Bukan kerana keluasan, tetapi biasalah bila bercuti dengan perempuan, di segenap tempat dia mahu mengambil gambar. Itu belum sesi swafoto.
Bagi saya, rasa nyaman dan privasi dapat dirasakan sepanjang berjalan-jalan di sekitar Anantara. Mungkin ketenangan yang hadir dari bunyi desir pantai itu juga memberi keselesaan kepada pengunjung.
Jangan risau, berbasikal adalah satu aktiviti tidak berbayar. Jadi ambil sahaja basikal dan mulakan sesi eksplorasi anda.
Melayu, Thailand di Turmeric
Keesokan harinya, kami menikmati sarapan yang disediakan. Dari segi pelaksanaan prosedur operasi standard, pujian harus diberikan kepada pengurusan hotel ini kerana semunya mematuhi standard yang telah digariskan.
Malah norma baharu juga tidak menyusahkan dan memberi keselesaan kepada pengunjung yang hadir.
Usai menikmati sarapan pagi, kami mengambil peluang untuk berjalan di sekitar pantai. Sempat juga kami menghayun buaian yang ada di situ. Ketika itu, ramai juga mat saleh yang datang bergambar di situ.
Saya cukup suka dengan kebersihan pantai yang ada di Anantara. Ketika itu, aktiviti laut terpaksa ditangguhkan sementara kerana angin monsun yang cukup kuat menyukarkan sebarang aktiviti pantai dijalankan.
Bila berjalan dan mandi-manda, perut mula berkeroncong. Kami bergerak ke Turmeric. Kami diberi peluang untuk menyertai kelas memasak yang disediakan oleh Anantara. Terdapat dua pilihan menu, Melayu dan Thailand.
Kami memilih untuk mencuba masakan Thailand. Memang A to Z kami diajar untuk menghasilkan hidangan Thailand. Malah penerangan chef yang mengajar juga cukup menyenangkan.
Selamat tinggal Desaru
Pengalaman menginap di Anantara pasti tidak akan dapat kami lupakan. Tiga hari sebenarnya tidak cukup untuk menikmati istirahat dan ketenangan yang ada. Melegakan stres kerja dan hidup, sini adalah lokasi percutian yang tepat.
Selain bilik dan vila yang bertaraf lima bintang, Anantara Desaru juga menawarkan pakej spa dan pelbagai lagi fasiliti yang pastinya bakal membuatkan percutian anda cukup hebat dan berbaloi.
Kami akan datang lagi. Anantara Desaru, satu destinasi penginapan yang serba mewah dan menenangkan.