Masalah air Kuala Kedah berakhir awal tahun depan

Masalah air Kuala Kedah berakhir awal tahun depan

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor melakukan gimik pecah tanah projek naik taraf LRA Pelubang di Stargate, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Masalah bekalan air bersih yang sering dihadapi puluhan ribu penduduk di Kuala Kedah dijangka berakhir dalam tempoh tujuh bulan akan datang apabila kerja-kerja pemasangan jajaran paip baharu dari Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang ke kawasan itu kini dimulakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemasangan jajaran paip baharu itu adalah sebahagian daripada projek menaik taraf LRA Pelubang yang keseluruhannya menelan belanja RM431 juta.

Katanya, dengan adanya jajaran tersebut, air terawat dari LRA Pelubang dapat disalurkan secara terus ke kawasan terjejas di Kuala Kedah tanpa terlalu bergantung kepada paip-paip lama yang terlalu usang serta tidak dapat memenuhi keperluan pembangunan sedia ada di sepanjang jajarannya.

“Sistem ini akan bypass paip lama bagi memfokuskan kepada permintaan air tinggi di Kuala Kedah. Projek ini dijangka ambil masa tujuh bulan dan menyelesaikan isu bekalan air di Kampung Tepi Laut, Kampung Tengku Laksamana, Taman Bersatu, Pekan Kuala Kedah dan kawasan perumahan lain di situ.

“Apabila jajaran paip ini siap, air dari loji lama terus boleh disalurkan ke Kuala Kedah tanpa perlu menunggu projek naik taraf LRA Pelubang siap sepenuhnya pada 2024,” katanya selepas merasmikan upacara pecah tanah projek itu di Stargate Alor Setar di sini, hari ini.

Projek tersebut bakal dilaksanakan anak syarikat milik kerajaan (GLC) negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDB Synergy Sdn. Bhd. (BDB Synergy).

Muhammad Sanusi berkata, bagi memastikan masalah itu dapat diatasi dengan lebih berkesan, kerajaan negeri bersama pihak terlibat turut memberi tumpuan terhadap usaha mengurangkan masalah air tidak terhasil (NRW).

“Kita menangani masalah itu secara dalaman bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) selain melantik beberapa syarikat yang sudah dikenal pasti. Bukan saja di Kuala Kedah, malah kita sebenarnya sedang cuba mengatasi masalah air di seluruh negeri ini.

“Secara keseluruhannya, semua projek diusahakan ini akan memenuhi keperluan kita hingga 2040. Selain menaik taraf projek yang menampung keperluan hingga tahun itu, kita juga akan merancang untuk memastikan masalah ini tidak berulang lagi selepas itu,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN