PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin mengakui seseorang pelakon itu harus tahu membuat pilihan sendiri tentang bagaimana dia mahu membentuk kerjaya seni lakonannya sendiri.
Pelakon berusia 32 tahun ini bahkan tidak menolak kemungkinan pelakon yang sering menerima watak yang sama itu kerana dia sendiri berasa selesa dengan apa yang dilakukan.
“Dia mungkin terlalu selesa, tak nak menukar karakter lain sebab rasa watak yang sama itu mudah baginya. Bergantung pada individu, kalau dia rasa selesa dan caranya itu bagus, teruskan.
“Macam saya, tak begitu suka rasa selesa. Saya suka teroka watak-watak lain sebab bila buat sesuatu tugasan baru, kita secara tak langsung sedang mencabar diri untuk menjadi lebih baik,”katanya.
Bagaimanapun, Fattah tidak menafikan bahawa ketika dia mula menceburi industri seni, sebagai ‘budak baru’, dia tidak berpeluang untuk bersikap memilih.
“Itu pernah terjadi pada diri saya sewaktu mula-mula bergelar pelakon. Iyalah, nama pun orang baru, kita tak ada peluang untuk memilih. Malah, kita tak digalakkan bersikap memilih sangat sebab siapalah kita?
“Kalau nak cari makan, jangan memilih sangat, itu yang orang cakapkan. Tapi tak mengapa sebab itu semua pengalaman dan saya sentiasa percaya perlahan-lahan akan sampai satu masa dan fasa kita akan sedar kredibiliti diri,”katanya.
Selain itu, kata Fattah, penerbit dan pengarah juga harus memainkan peranan dengan bersikap lebih terbuka memberikan peluang kepada pelakon-pelakon untuk mencuba watak yang pelbagai.
Usah mudah melabel seseorang pelakon dengan sesebuah watak, Fattah menganggap setiap pelakon tentunya akan berusaha memberikan yang terbaik apabila menggalas tanggungjawab yang diberikan terutama jika naskhah itu juga kuat.
“Kadangkala ada sesetengah pengarah atau penerbit rasa pelakon yang ada rupa elok atau tampan sikit, layak untuk sekian-sekian watak saja. Walhal, dia mungkin nak cuba watak yang berbeza daripada biasa.
“Macam hero dan heroin di Korea misalnya, ada ramai yang memiliki rupa paras cantik tapi boleh bawa macam-macam watak yang versatil. Itu kerana mereka diberi peluang dan diharapkan ia juga berlaku di sini,”katanya.