KLANG: Kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi tumpas apabila ‘markas’ mereka di Taman Sentosa di sini digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor semalam.
Sindiket itu disyaki memotong dan membungkus semula minyak masak peket 1 kilogram (kg) untuk dibotolkan bagi mendapat keuntungan segera.
Dalam serbuan pada pukul 3.30 petang, KPDNHEP Selangor merampas minyak yang dianggarkan bernilai RM27,628.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan mengenai kegiatan penyelewengan minyak masak di premis tidak bernombor dipercayai menjadi stor penyimpanan selain lokasi pembungkusan dan pembotolan semula minyak bersubsidi tersebut.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada sitaan minyak masak peket seberat 7,361 kg dan 776 botol seberat sejumlah 1,562 liter.
“Selain itu, peralatan dan plastik pembungkusan minyak yang digunakan turut dirampas untuk tindakan lanjut. Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM27,628,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketika serbuan empat lelaki berusia 25 hingga 41 tahun berada di premis berkenaan ditahan untuk rakaman percakapan.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis. – UTUSAN