PUTRAJAYA: Langkah drastik pembatalan permit kebenaran (AP) bagi mengimport karkas ayam bulat adalah amat tepat kerana selama ini Malaysia hanya bergantung kepada Thailand.
Perkara tersebut didedahkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hari ini yang menunjukkan cuma negara tersebut membekalkan karkas berkenaan pada sepanjang tahun ini.
Berdasarkan data dari tempoh 1 Januari sehingga 30 April lalu, Thailand memonopoli eksport karkas ayam bulat ke Malaysia dengan sejumlah 987 tan direkodkan oleh kementerian tersebut.
Ironi, sepanjang tahun lepas pula, Malaysia langsung tidak mengimport karkas berkenaan dari mana-mana negara dan ia menjelaskan punca harga runcit ayam di negara ini mulai melonjak.
Justeru, keputusan mesyuarat Kabinet pada 18 Mei lalu yang bertindak tegas membatalkan AP karkas ayam bulat dan keratan ayam sebenarnya amat tepat bagi menstabilkan kembali harga.
Inisiatif tidak dijangka tersebut akan membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat mengimport produk unggas itu daripada mana-mana negara sumber pada harga lebih murah.
Bagaimanapun, mereka masih lagi perlu mempunyai dokumen bagi Permit Import (IP) sah yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Sejak 5 Februari lalu, harga siling ayam standard yang ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram ekoran pemberian subsidi berjumlah RM729 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia.
Mengulas lanjut, kementerian itu memaklumkan bahawa untuk empat bulan pertama tahun ini, Malaysia juga mengimport sebanyak 36,486 tan karkas keratan ayam dari cuma empat negara.
Thailand muncul pengeksport terbesar karkas tersebut dengan 32,486 tan, jauh meninggalkan saingannya, China hanya 2,833 tan, Brazil (1,113 tan) dan paling kecil iaitu Denmark (46 tan).
Sekadar perbandingan, sepanjang tahun lepas pula Malaysia menerima 64,049 tan karkas berkenaan dari empat negara sumber yang sama dengan Thailand masih lagi kekal paling banyak.
Negara jiran tersebut berjaya mengeksport 60,302 tan karkas keratan ayam ke Malaysia pada 2021, disusuli China yang cuma 1,888 tan, Brazil (1,809 tan) dan baki 50 tan dari Denmark.
Jika dilihat data oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Malaysia pada 2020 lalu pernah mengimport daging ayam sebanyak 69,859 tan, berbanding 73,289 tan (2019) dan 72,589 tan (2018).
Secara perkapita menurut agensi tersebut, seorang penduduk Malaysia akan makan 46.1 kilogram daging ayam pada 2021 lalu, berbanding 50.2 kilogram (2020) dan 48.9 kilogram (2019).
Purata keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ekor setiap hari atau 62.9 juta ekor sebulan, namun kekurangan bekalan dikesan sudah pun mula berlaku sejak Oktober tahun lepas.
Antara punca utama ialah penternak mengurangkan pengeluaran bagi mengelak kerugian akibat peningkatan kos operasi yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh harga dedak.
Susulan itu, kerajaan dijangka membuka banyak ladang jagung bijian dengan kerjasama pelbagai pihak bagi mengurangkan kebergantungan 100 peratus kepada import produk ini. – UTUSAN