PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri bersedia memperluaskan kerjasama dengan Turki dalam bidang kawalan sempadan daripada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Perkara itu antara topik dibincangkan menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sesi kunjungan hormat ke atas Presiden Recep Tayyip Erdogan di Ankara, Turki pada 31 Mei lalu.
“Perbincangan secara mendalam juga meliputi inisiatif untuk pengembangan kerjasama yang strategik sedia ada dan berkongsi pengalaman. Sesi pertemuan rasmi tersebut berlangsung di Istana Presiden dan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu yang terkenal dengan reputasi ketegasan di republik itu,” kata kenyataan pejabat beliau di sini hari ini.
Negara Islam berkenaan menjadi tumpuan PATI kerana berkongsi sempadan darat sepanjang 2,648 kilometer dengan Armenia, Azerbaijan, Bulgaria, Georgia, Greece, Iran, Iraq dan Syria.
Mengulas lanjut, kenyataan pejabat itu menambah, aspek pemerkasaan kawalan sempadan negara diberikan fokus kerana Turki terkenal memiliki kepakaran tinggi dalam bidang tersebut.
“Justeru, beberapa lawatan khas bagi melihat pengurusan, teknologi, aset strategik dan lokasi operasi tumpuan menangani pencerobohan telah diatur khusus oleh kerajaan Turki. Malah program berkenaan akan diselaraskan sendiri oleh pihak Kementerian Dalam Negeri Turki supaya kejayaan republik itu dapat dikongsi bersama dengan kerajaan Malaysia.
“Tambahan pula, Turki diiktiraf mempunyai teknologi sistem keselamatan bertaraf dunia selain menjadi rakan strategik terbesar pada pameran Defense Security Asia 2022 di Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN