KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kesal dengan tindakan sekumpulan anak muda didakwa didalangi pihak tertentu yang membuat provokasi dalam sebuah majlis ramah mesra dan jamuan yang dihadiri di Taman Aulia, Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Kelantan, kelmarin.
Mohd. Asri berkata, majlis tersebut berlangsung lancar sehinggalah pada akhir majlis sekumpulan anak muda merokok, berseluar pendek dan menutup muka datang ke kawasan berkenaan berhimpun membuat provokasi dengan menjerit-jerit.
Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang tidak memberi reaksi balas terhadap provokasi tersebut.
“Mungkin ada pihak tertentu yang tidak selesa dengan saya menghantar kumpulan berkenaan bagi membuat provokasi tersebut.
“Agama itu ada akhlaknya, muhasabah kembali kerana perbuatan seperti itu tidak sesuai. Dalam perjuangan ini, jangan tiru budaya tidak baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sejak malam kelmarin, tular di media-media sosial rakaman video sekumpulan anak muda yang menjerit-jerit membuat provokasi dalam sebuah majlis yang dihadiri Mohd. Asri dan penceramah terkenal, Dr. Rozaime Ramle di Kelantan.
Dalam pada itu, seorang tetamu yang hadir pada majlis tersebut memaklumkan kepada Utusan Malaysia, kira-kira 100 individu dalam kalangan anak muda datang membuat provokasi pada majlis berkenaan.
“Mereka menjerit-jerit tolak wahabi sambil melaungkan takbir, ada yang dilihat rokok di tangan sambil melaungkan takbir itu,” katanya.
Sementara itu, Rozaime dalam status Facebooknya berkata, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang sudi bertemu mereka.
“Namun, setelah majlis selesai terdapat sekumpulan anak muda datang membuat provokasi. Kepada mereka yang membuat provokasi itu, kita boleh berbincang secara bertamadunt.
“Jika tidak mahu hormatkan kami sekalipun, hormatlah Datuk Wan Arif yang merupakan orang Kelantan, tuan rumah dan orang tua,” katanya. – UTUSAN