Majikan sanggup bayar tampung kekurangan pekerja asing - Utusan Malaysia

Majikan sanggup bayar tampung kekurangan pekerja asing

TAWARAN gaji yang tinggi bagi sektor perladangan kelapa sawit menyebabkan pekerja warga asing lari atau dicuri untuk bekerja di sektor perladangan berkenaan. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keperluan mendesak terhadap pekerja asing menyebabkan majikan sanggup membayar sehingga RM3,500 untuk mendapatkan seorang pekerja asing dari Indonesia bagi menampung kekurangan pekerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar YP Plantation Holdings Sdn. Bhd. (YPPH), Muhamad Fairuz Kamal Mat Noh berkata, mahu tidak mahu harga itu perlu dibayar kerana ia ‘tiket’ bagi memboleh­kan pekerja asing warga Indonesia masuk ke negara ini.

“Pekerja asing terutama warga Indonesia memang keperluan cukup mendesak ketika ini. Jadi memang terdapat ejen yang bertindak mengambil kesempatan dengan meletakkan harga tinggi.

“Tapi mereka (ejen) tidak sepatutnya berbuat demikian kerana rata-rata pengendali kelapa sawit sebenarnya sudah tahu harga standard untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, ejen warga asing yang berdaftar dengan kerajaan negara sumber terutama Indonesia kini memperdagangkan tenaga kerja dari republik itu sehingga meraih RM3,000 seorang berikutan permintaan tinggi tenaga buruh pasca Covid-19.

Bayaran itu didakwa bagi ‘tujuan’ membayar kos kemasukan antaranya pasport, pemeriksaan kesihatan, insurans, pengesahan visa, dokumen pengambilan, tiket kapal terbang dan pakaian seragam yang sebelum ini perlu ditanggung pekerja terbabit.

Namun kos itu kini didakwa ‘wajib’ dibayar oleh majikan yang keseluruhannya mence­cah RM4,000 seorang pekerja warga Indonesia selain bayaran ditetapkan kerajaan Malaysia seperti levi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) perladangan, lanjutan PLKS, proses PLKS dan visa kemasukan berganda.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber sektor perladangan dilaporkan berkata, harga ditetapkan ejen untuk tenaga kerja asing dari Indonesia tidak sama antara RM2,500 ke RM3,000.

Mengulas lanjut, Muhamad Fairuz Kamal berkata, beliau berharap kos pengambilan pekerja asing diselaraskan bagi memastikan tiada ejen mengambil kesempatan ekoran keperluan cukup mendesak pada ketika ini.

“Tapi, jika ejen tetap mele­takkan harga tinggi, pengendali kelapa sawit tidak perlu memilih mereka kerana ramai ejen lagi di Indonesia yang kita boleh runding harganya,” katanya.

RAKYAT TAK MINAT SEKTOR 3D
Sementara itu, kebergantungan terhadap pekerja asing dalam pelbagai sektor terma­suk perladangan yang cukup mendesak ketika ini berpunca daripada sikap rakyat negara ini yang tidak berminat melibatkan diri dalam pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, isu tersebut perlu diatasi bagi memastikan pendapatan lumayan dalam pekerjaan sektor 3D tidak hanya direbut oleh pekerja asing.

Menurutnya, kesan penduduk tempatan lebih gemar memilih pekerjaan ‘smart’ menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport ramai pekerja asing bagi mengi­si kekosongan dalam sektor mendesak seperti perladangan.

BANYAK majikan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan warga tempatan yang sanggup bekerja dalam sektor pembinaan yang dikategorikan dalam industri 3D. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

“Sebagai contoh usaha Felda menubuhkan Briged Operasi Ladang sebagai tenaga kerja di ladang sawit dengan pelbagai insentif menarik tetapi kurang berjaya.

“Peluang pekerjaan di negara ini sangat banyak termasuk dalam bidang pekerjaan 3D tetapi ia gagal direbut sepenuhnya oleh golongan belia dan penduduk tempatan,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, ekoran kekurangan dan keperluan mendesak kepada warga asing ketika ini, maka tidak hairan ada pihak cuba mengambil kesempatan me­ngaut keuntungan.

Beliau berkata, pengambilan buruh warga asing telah dibuka dan boleh dimohon secara dalam talian di www.fwcms.com.my.

“Majikan seperti Felda dan Felcra perlu memohon dengan Kementerian Sumber Manusia dan kelulusan tertakluk kepada keperluan kuota.

“Selepas mendapat kelulusan kuota, baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan proses tapisan keselamatan dan kebenaran masuk oleh Jabatan Imigresen.

“Kini sudah ada syarikat tertentu memohon dan mendapat kelulusan kuota dan sedang dalam proses tapisan KDN dan kebenaran masuk oleh imigre­sen,” katanya.

KEKURANGAN TUKANG KUTIP, CUCI PINGGAN
Dalam pada itu di Seremban, Negeri Sembilan, masalah kekurangan pekerja ekoran ketiadaan tenaga kerja warga asing­ ketika ini turut menjejaskan bidang tugas pembersihan di hentian rehat dan rawat (R&R) khususnya di bahagian gerai makanan dan minuman.

Difahamkan, isu kekurangan pekerja tersebut menyebabkan peralatan makanan seperti pinggan dan gelas yang telah digunakan pelanggan bersepah di atas meja tanpa dibersihkan dan sudah menjadi pemandangan biasa terutama ketika musim cuti persekolahan.

SEORANG pekerja gerai minuman terpaksa membersihkan sendiri cawan dan pinggan yang telah digunakan pelanggan selepas gerai makanan di situ mengalami isu kekurangan pekerja bagi tugas mengutip pinggan dan mencucinya di Hentian Sebelah Nilai Arah Utara. – UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA

Tinjauan Utusan Malaysia di Hentian Sebelah Nilai (Arah Utara) Lebuh Raya Utara Selatan juga mendapati, masalah serupa berlaku dan turut meresahkan peniaga gerai makanan dan minuman di situ.

Seorang peniaga minuman yang hanya mahu dikenali sebagai Rohani, 51, berkata, kumpulan peniaga di situ telah melantik pihak terlibat bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan meja makanan terma­suk mencuci pinggan.

Bagaimanapun, pihak syarikat tersebut didakwa gagal untuk menyediakan bilangan pekerja yang mencukupi sehingga menyebabkan masalah tersebut timbul dan selalu mendatangkan rungutan dalam kalangan pelanggan.

“Terutama pada musim cuti sekolah, memang pelanggan ramai berhenti untuk menjamu selera. Kerap kali meja tidak dibersihkan dengan segera oleh pekerja terlibat dan akhir­nya kami juga yang terpaksa mengambil sendiri cawan atau gelas di meja-meja untuk dicuci supaya ia dapat gunakan semula.

“Saya juga dimaklumkan, pihak terlibat menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerja dalam kalangan orang tempatan. Sememangnya sebelum ini tugas-tugas tersebut dilakukan pekerja asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh,” katanya.

Seorang kontraktor pembersihan yang baharu sahaja mendapat kontrak untuk kerja-kerja tersebut di sebuah R&R di sini, Mumtaz Khan Shafik, 44, berkata, dia mengakui berdepan kesukaran ketika ini untuk mendapatkan pekerja.

“Saya ketika ini sedang mencari pekerja untuk tugas kutip pinggan dan mencucinya. Jika diikutkan saya memerlukan seramai 25 orang pekerja, sekarang ini hanya ada 15 orang dan kesemuanya merupakan pekerja tempatan termasuk dalam kalangan ahli keluarga yang membantu.

“Ramai yang memohon tetapi apabila diminta untuk hadir bekerja, mereka tidak datang dan kami terus berdepan de­ngan masalah ini. Jika ada pekerja asing saya boleh beri jaminan, masalah sedang kami hadapi ini tidak akan timbul.

“Pekerja-pekerja asing ini juga boleh saya katakan rajin bekerja dan jarang menimbulkan masalah berbanding segelintir pekerja tempatan khususnya anak-anak muda yang banyak ragamnya dan hanya tahu main game sahaja,” kata­nya yang turut meminta supaya kerajaan untuk segera menyelesaikan isu kemasukan pekerja asing ke negara ini.

‘MASALAH’ GAJI LADANG SAWIT LEBIH TINGGI
Dalam pada itu, menjawab mengenai kekurangan pekerja asing di sektor lain, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tawaran gaji yang tinggi berikutan kenaikan harga kelapa sawit menyebabkan pekerja warga asing lari atau dicuri untuk bekerja di sektor perladangan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan pemilik ladang yang menawarkan bayaran tinggi juga menyebabkan masalah berkenaan berlaku hingga sektor lain kekurangan tenaga kerja asing.
“Itu memang betul (pekerja asing lari ke sektor perladangan sawit) dan saya setuju sebab kita lihat permintaan yang tinggi di sektor perladangan dengan kenaikan harga kelapa sawit.

“Pemilik ladang kelapa sawit juga sanggup bayar gaji yang lebih daripada sektor lain maka ada juga yang lari dan ada yang dicuri,” katanya.

Menurut Saravanan, bagi mengatasi masalah tersebut, Kementerian Sumber Manusia akan memperkenalkan sistem kad pengenalan pekerja asing bagi mengelak pekerja asing lari ke sektor perladangan dan be­kerja di ladang kelapa sawit.

Katanya, langkah itu juga bertujuan mengelakkan maji­kan daripada mengambil ke­sempatan dan menyalah guna pendaftaran pekerja asing di sektor masing-masing.

“Satu lagi masalah yang saya lihat, kalau kita mengikut bayaran levi untuk sektor pertanian adalah lebih murah, maka ramai majikan walaupun daripada sektor lain mereka membawa pekerja asing dengan saluran pertanian kerana mereka boleh bayar levi yang murah.

“Dengan memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor kita bakal mengatasi masalah ini,” katanya.

Saravanan berkata, sistem kad pengenalan pekerja asing mengikut sektor ini juga akan dapat memudahkan kerja-kerja penguatkuasaan pihak berkuasa terhadap pekerja asing serta majikan yang melanggar peraturan.

“Sistem kad pengenalan pekerja asing akan memudahkan penguatkuasaan pihak berkuasa daripada imigre­sen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Sebelum ini media melapor­kan kenaikan harga buah tandan segar (BTS) susulan peningkatan ketara harga minyak sawit mentah (MSM) menjejaskan tenaga kerja dalam sektor lain, terutamanya pembinaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo turut mengalami kesannya apabila kontraktor kini menghadapi masalah kekurangan pekerja susulan tawaran gaji lebih menarik dalam sektor perladangan sawit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya