SEGAMAT: Sejak terpisah 50 tahun lalu, seorang warga emas yang juga imam tidak berhenti berusaha untuk mencari semula kenalan lamanya pada era tahun 1970-an.
Amir Hassan, 72, ingin bertemu semula dengan Siti Fatimah Hashim untuk memberikan hadiah yang telah dia janjikan dahulu.
“Saya pernah berjanji pada Siti Fatimah 50 tahun yang lalu untuk memberikannya hadiah tanda ingatan perkenalan. Saya berkenalan dengan Siti Fatimah pada Disember tahun 1970-an dan pernah beberapa kali bertemunya di sekitar stesen kereta api di Bandaraya Johor Bahru.
“Siti Fatimah merupakan sahabat yang baik dan ketika itu dia masih muda, berusia 18 tahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasik Alai, di sini.
Ketika itu dia menyatakan mahu memberikan hadiah tanda persahabatan mereka.
Malangnya, beberapa bulan selepas perkenalan itu, mereka terputus hubungan kerana Amir bertugas di Sarawak, manakala Siti Fatimah pula menetap di sebuah Felda di Kulai.
Apa yang menyukarkan pencariannya kerana dia tidak mempunyai gambar Siti Fatimah, namun memiliki tahi lalat berhampiran kening kirinya serta rambut ikal mayang.
“Saya sudah berusaha menjejaki Siti Fatimah sejak saya bersara, namun gagal. Saya ada meminta bantuan rakan-rakan selain pengurusan Felda juga membantu, namun tidak memperoleh sebarang maklumat berkaitannya.
“Saya tidak putus asa mencarinya termasuk memeriksa maklumat di Pejabat Felda sekitar Kulai dan terdapat beberapa individu lain yang memiliki persamaan nama. Namun masih tidak ketemu,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga, namun enggan mendedahkan maklumat tentang keluarganya.
Amir ingin terus mengesan Siti Fatimah yang mungkin kini sudah berkeluarga dan mencecah usia warga emas sepertinya. Pencarian menjejaki Siti Fatimah giat dilakukan Amir kerana dia mahu bertemu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
“Saya pernah berjanji selama 50 tahun. Jadi, hasrat saya hanyalah mahu melunaskan janji tersebut sebelum saya menutup mata. Selagi tidak dapat berjumpanya, saya merasakan janji saya masih belum dilaksanakan. Selagi itu saya akan berusaha mencarinya,” katanya.
Dia berharap waris wanita terbabit tidak tersalah faham kerana niatnya bukan untuk mengeratkan kembali hubungan dengan wanita itu, tetapi hanyalah untuk mengotakan janji suatu ketika dahulu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Amir kerap tidak dapat melelapkan mata kerana masih dihantui janji tidak tertunainya itu. Amir yang pernah berkhidmat dalam unit Polis Tentera (MP) sebelum ini masih menaruh harapan tinggi untuk menunaikan janjinya walaupun telah setengah abad janji itu berlalu.
“Naluri saya menyatakan Siti Fatimah masih hidup,” katanya yang juga seorang imam.
Orang ramai yang mengenali atau mengetahui alamat Siti Fatimah diminta menghubungi Amir Hassan menerusi talian 017-7111232. – UTUSAN