KOTA BELUD: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) membangunkan Program Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Kampung Jawi-Jawi di sini dengan penglibatan seramai 40 pesawah tempatan.
Smart SBB di sini merupakan program kolaborasi di antara Bernas, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah serta agensi kerajaan lain.
Ketua Blok Skim Jawi-Jawi Kota Belud, Rajumin Jamrin berkata, program itu memberi pelbagai manfaat kepada penduduk terutamanya pesawah tempatan.
Katanya, pesawah di kawasan ini didedahkan kepada pelbagai latihan pertanian bagi memperkasakan lagi pengetahuan serta kemahiran mereka.
Ujarnya, ia termasuklah pengamalan teknologi terkini seperti dron dan jentera yang bersesuaian dalam pengurusan tanaman padi serta Jadual Kerja Ladang yang merupakan kaedah amalan pertanian yang lebih tepat.
“Melalui program ini, ia membantu kami untuk mengusahakan sawah secara berpasukan dan lebih sistematik.
“Selain itu, Bernas turut membimbing kami dalam penetapan Jadual Kerja Ladang yang lebih teratur yang mampu mengurangkan risiko kepada tanaman serta mengelakkan pembaziran input pertanian.
“Ini sekaligus dapat membantu kami dalam meningkatkan hasil padi serta pendapatan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rajumin, penggunaan teknologi dron memudahkan urusan kami dalam pengurusan ladang dan memberi kami masa terluang untuk melakukan kerja-kerja harian lain.
“Penggunaan teknologi dron memberi hasil semburan baja dan racun yang lebih sekata meliputi seluruh kawasan ladang dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat, mengurangkan penggunaan tenaga dan mengoptimakan input serta kos.” katanya.
Smart SBB mula diperkenalkan dari awal tahun 2021 merupakan salah satu inisiatif Mafi dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Bernas amat komited dalam mengukuhkan hala tuju strategik bagi membangunkan Smart SBB, selari dengan aspirasi Mafi dalam mengukuhkan kelestarian industri. – UTUSAN