KANGAR : Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) merancang melaksanakan projek pembangunan sistem pengairan tersier melibatkan 16 blok kawasan pengairan sawah padi di seluruh negeri ini.
Pengurus Wilayah 1 Mada, Zairizal Zainon berkata, projek tersebut bertujuan menyediakan rangkaian infrastruktur sistem pengairan yang lebih cekap dan efisyen dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi.
Katanya, tanaman padi di bawah seliaan Mada negeri diuruskan melalui 23 blok pengairan di mana tujuh blok pengairan dilengkapi dengan sistem pengairan peringkat tersier.
“Pada tahun 2022, sebanyak dua projek pembangunan sistem pengairan tersier sedang dijalankan negeri ini melibatkan kos sebanyak RM39.8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah maklum mengenai perkara itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada Majlis Erat Syawal Mada Wilayah 1 di pejabat agensi itu di Behor Temak di sini hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Mada, Kamarudin Dahuli.
Tambah Zairizal, bagi tahun 2022, pihaknya merancang kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan di kawasan Mada Wilayah 1 negeri ini mengikut peruntukan disediakan.
“Untuk kerja-kerja penyelenggaraan saluran air berkala dengan kos dianggarkan RM680,000.
“Selain itu, kerja- kerja penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan ladang, struktur kawalan dan ban dengan kos dianggarkan sebanyak RM1.5 juta,” katanya. –UTUSAN ONLINE