PUTRAJAYA: Hanya satu lokasi ‘hotspot’ atau titik panas yang menjadi tempat pembuangan sampah secara haram baharu ditemukan di sempadan Putrajaya dengan Selangor semalam.
Menurut kenyataan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, lokasi terkini itu terletak di sempadan Presint 11 dan Aspen, Cyberjaya.
“Semua ‘hotspot’ didapati terkawal dengan tiada tanda pembuangan baharu, namun satu pula ‘hotspot’ ditemukan di sempadan,” tambah agensi itu menerusi hantaran dalam laman sosialnya.
Susulan itu, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib yang membuat tinjauan lokasi tersebut meminta pembersihan dibuat segera dan mengarahkan kawasan berkenaan ditutup kepada orang awam setelah melakukan pemeriksaan rutin bersama Pasukan Penguatkuasaan SWCorp Cawangan Putrajaya.
Jelasnya, Putrajaya dikenal pasti mempunyai lima ‘hotspot’ sampah haram dibuang pihak tidak bertanggungjawab selama ini kerana lokasinya agak tersorok.
Bagaimanapun katanya, kesemua kawasan tersebut terkawal dan pihak SWCorp Wilayah Persekutuan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sepang bagi membersihkan kawasan sempadan terutama longkang, pemotongan rumput dan pengutipan sampah.
SWCorp sentiasa melaksanakan pemantauan secara harian dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pelaku dapat dicekup kerana membuang sampah haram di tempat tidak diizinkan.
Kesalahan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di negeri-negeri yang sudah meratifikasi akta itu yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda RM10,000 sehingga tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan sehingga lima tahun. – UTUSAN