Lima warga Indonesia gagal seludup ubat terkawal

Lima warga Indonesia gagal seludup ubat terkawal

SEBUAH bot ditahan pihak berkuasa Maritim Malaysia dan didapati cuba menyeludup keluar ubat-ubatan terkawal dari negara ini berhampiran perairan Tanjung Harapan di Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan lima lelaki warga Indonesia menyeludup ubat-ubatan terkawal dengan sebuah bot gagal apabila dicekup pihak berkuasa di perairan Tanjung Harapan di sini, semalam.

 Kesemua tekong dan kru berusia 23 tahun hingga 62 tahun yang menaiki bot barter trade itu dipercayai sedang menuju ke Indonesia selepas keluar dari Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, kegiatan itu dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor yang segera bertindak menahan bot tersebut, kira-kira pukul 6.30 petang.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan mengenai bot mencurigakan di perairan berkenaan sebelum pemeriksaan awal mendapati lima warga asing itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun, mereka gagal mengemukakan permit berkaitan barangan yang sarat dalam bot berkenaan. Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemukan sembilan kotak pelbagai jenis ubat kawalan yang dipercayai mahu dibawa ke Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Selangor bagi tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti jenis ubatan itu. Kes diklasifikasikan mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Racun 1952,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya