KUANTAN: Sebanyak lima terowong pembinaan stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari 36 terowong di negeri ini ditembusi setakat ini.
Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja pengorekan terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer dengan menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) baharu sahaja dirasmikan permulaan pembinaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Jun lalu.
“Kerja-kerja mengorek terowong Kuantan sepanjang 2.86 kilometer di Jabor pula dijangka selesai dilaksanakan sekitar Oktober tahun ini,” katanya hari ini.
MRL berkata, pada masa ini ECRL di negeri ini mempunyai jumlah tenaga kerja seramai 5,057 orang yang sebahagian besarnya tertumpu kepada kerja-kerja infrastruktur termasuk pengorekan terowong, pembinaan jambatan dan kerja-kerja cerucuk.
MRL hari ini meneruskan program ‘Mesra ECRL’ bagi mendekati komuniti setempat dalam jarak radius lima kilometer dari lokasi stesen-stesen jajaran projek ECRL di negeri ini setelah program itu berjaya di Kelantan dan Terengganu.
Program ‘Mesra ECRL’ merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan menyantuni ekonomi setempat, sosial, rakyat dan alam sekitar.
Program ‘Mesra ECRL Pahang’ bagi Stesen ECRL Paya Besar berlangsung di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang, di sini hari ini dengan dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah. Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Mohd. Shahar berkata, stesen ECRL Paya Besar yang bakal dibina dilihat berpotensi memacu aktiviti komersial, menarik kehadiran pelancong dan menambah peluang pekerjaan penduduk sekitarnya.
Katanya, perhubungan rangkaian ECRL yang lancar boleh membawa impak yang positif terhadap sosioekonomi penduduk tempatan dalam jangka masa panjang.
“Penduduk di Paya Besar percaya dengan adanya Stesen ECRL Paya Besar akan memberi kemudahan pengangkutan penumpang dan barang dari Paya Besar ke Lembah Klang atau ke destinasi-destinasi utama di sepanjang rangkaian keretapi ECRL dan sebaliknya,” katanya. – UTUSAN