Lewat terima baja bantut tumbesaran padi

Lewat terima baja bantut tumbesaran padi

HASBULLAH Hassan menunjukkan pokok padi di sawahnya yang memerlukan baja untuk tumbesaran di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, Pendang, Kedah. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Seramai 80 pesawah di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar di sini, kecewa belum menerima bekalan baja subsidi daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedangkan benih padi sudah ditabur sejak April lalu.

Pesawah mendakwa kelewatan bekalan baja itu menyebabkan tumbesaran pokok padi terbantut dan menjejaskan pengeluaran musim ini.

Hasbullah Hassan, 65, berkata, pesawah di kawasan ini yang mengusahakan tanaman padi seluas 20 hektar mula merungut apabila masih tidak menerima bekalan baja subsidi mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, kebanyakan petani menabur benih padi April lalu dan tanaman baharu itu memerlukan baja tersebut.

“Pesawah tidak boleh menunggu bekalan baja dalam tempoh terlalu lama untuk memulakan kerja-kerja menabur benih padi kerana bimbang bekalan air berkurangan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hasbullah berkata, pesawah sepatutnya menabur baja selepas dua minggu benih padi ditabur.

“Sehubungan itu, saya berharap MADA dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin kerana jika terlewat anak pokok padi akan kekuningan dan pengeluaran padi akan berkurangan,” ujarnya.

Seorang lagi pesawah, Mat Zohir Shariff, 56, pula berkata, kegagalan pesawah menerima bekalan baja tersebut menyebabkan mereka terpaksa menggunakan lebihan simpanan baja musim lepas.

“Bagaimanapun baja pada musim lalu terhad dan tidak mencukupi untuk kerja membaja bagi musim ini,” katanya.

Selain itu, tambahnya, dia tidak mampu untuk membeli baja padi tersebut kerana harganya mahal dan meningkatkan lagi kos tanaman padi.

Sementara itu, Pengerusi Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd. Fuad Yaacob berkata, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebelum ini berjanji menyelesaikan masalah kekurangan bekalan baja selepas 15 Jun ini.

“Semua kilang Nafas dikatakan beroperasi 24 jam untuk menjamin bekalan baja dapat dibekalkan kepada petani secepat mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya