REMBAU: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Rembau hari ini atas pertuduhan memiliki cecair vape mengandungi dadah dalam satu serbuan di Felda Jelai 3, Tampin, Mac lalu.
Tertuduh, Muhammad Nur Amirul Mohd. Sharif, 25, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
Berdasarkan pertuduhan pada 16 Mac lalu, kira-kira pukul 2.30 pagi, dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Jelai 3, telah didapati dalam milikan tertuduh dadah berbahaya jenis ketamine dengan isipadu bersih 287 mililiter (ml).
Oleh yang demikian, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan terdapat empat lelaki di dalam rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan telah ditemukan 82 botol kecil lutsinar mengandungi cecair disyaki dadah dan sebotol besar berwarna putih mengandungi cecair disyaki dadah seberat 800 ml.
Barang kes berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi tujuan analisis dan hasil analisis mendapati barang kes mengandungi 210 ml dan 77 ml dadah jenis ketamine.
Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM3,400 atau sekiranya gagal menjelaskan bayaran, penjara 11 bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Kavittha. – UTUSAN