Lelaki ditahan khianat kawasan kubur

Lelaki ditahan selepas khianat kawasan kubur

BATU nisan yang dicabut dari kawasan kubur diletakkan di atas jalan oleh seorang lelaki dalam kejadian di Semanggol di Bagan Serai, Perak, 8 Jun lalu. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki melakukan perbuatan khianat di kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Jawa, Semanggol, di sini, 8 Jun lalu.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 9 pagi sehari selepas kejadian tersebut hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, sebelum itu tersebar satu rakaman video berdurasi satu minit 21 saat berhubung kejadian perbuatan khianat berkenaan yang dikesan dimuat naik dalam media sosial.

Katanya, berdasarkan rakaman video itu, seorang lelaki didapati bertindak luar kawalan dengan menceroboh dan melakukan khianat di sekitar kawasan perkuburan terbabit.

“Hasil siasatan dan semakan video itu mendapati, suspek tinggal berdekatan kawasan itu. Lelaki itu ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya semalam.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan dan suspek direman lima hari sehingga 15 Jun ini.

“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, tersebar satu video seorang lelaki menceroboh kawasan perkuburan Islam.

Dalam rakaman tersebut, seorang individu yang merakam video keadaan kubur yang diceroboh berkata, suspek menceroboh dengan merosakkan kubur termasuk mencabut batu nisan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN