Lebih 91%  bicara kes rasuah SPRM disabit bersalah  - Utusan Malaysia

Lebih 91%  bicara kes rasuah SPRM disabit bersalah 

Tan Sri Azam Baki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 91 peratus daripada 1,283 kes perbicaraan rasuah di mahkamah berakhir dengan kes-kes tersebut disabitkan bersalah  sepanjang tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia sekali gus menunjukkan kejayaan  siasatan yang dibawa ke pendakwaan dan dibicarakan di Mahkamah Sesyen seluruh negara.

Menurut beliau, pencapaian  itu lebih tinggi daripada tahap 75 peratus yang ditetapkan United Nations Convention Against Corruptions (UNCAC).

“Sejumlah 292 kes telah selesai dibicarakan. Daripada jumlah itu, sebanyak 266 berakhir dengan sabitan atau 91.1 peratus. 

“Ini menunjukkan peratusan sabitan yang amat membanggakan,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Media SPRM, di sini hari ini.

Azam berkata, sebanyak 152 kes pelucuthakan harta dikendalikan di mahkamah yang mana sejumlah 121 kes permohonan telah selesai. 

Jelas beliau, sejumlah 117 kes atau 96.7 peratus memihak kepada pendakwa raya manakala empat kes, atau 2.2 peratus tidak memihak kepada pendakwa raya. 

“Dari segi pemulihan aset, jumlah aset yang dilucut hak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun lepas adalah RM5.1 billion, di mana RM99.57 peratus adalah daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

SOP

Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tertentu dalam siasatan iaitu tidak boleh membuka kertas siasatan hanya daripada maklumat seorang blogger atau pengguna media sosial, terutamanya mereka yang disyaki mempunyai agenda politik tertentu. 

Katanya, jika SPRM berasaskan siasatan atas tuduhan atau dakwaan yang sedemikian, kertas siasatan tidak akan berjaya berdiri di atas landasan bukti teguh sekali gus akan dibuang sebelum ia mendapat izin untuk mendakwa oleh Pejabat Peguam Negara dan sudah tentu tidak akan sampai ke ruang perbicaraan mahkamah. 

Justeru, beliau percaya agensi media dapat memahami dan tidak lagi melaporkan SPRM membuka kertas siasatan susulan dakwaan seorang blogger selain perlu berhati-hati membuat laporan supaya mempunyai bukti-bukti teguh sekiranya disaman di mahkamah.

“Lebih-lebih lagi kami, sebagai badan penguat kuasa undang-undang yang diperkuatkuasakan dengan akta, semestinya perlu begitu cermat mengikuti SOP  untuk meneliti mana-mana dakwaan dan aduan, sebelum membuka sesuatu kertas siasatan.

 “Dan sekiranya, tidak ada atau tidak cukup bukti, kertas siasatan akan ditutup. Amalan ini adalah untuk memastikan seseorang yang tidak bersalah tidak dianiayai, dan yang tertuduh mendapat ruang dan peluang pembelaannya di mahkamah,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya