Lebih 60 tahun air keruh seperti ‘milo’

Lebih 60 tahun air keruh seperti ‘milo’

AIR daripada Sungai Bengkoka yang digunakan penduduk Kampung Pinapak, Pitas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PITAS: Sudah lebih 60 tahun, air sungai keruh seperti milo masih menjadi sumber air utama penduduk Kampung Pinapak di sini.

Malah, warga sekolah dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pinapak juga terpaksa menggunakan sumber air yang sama hingga ke hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Pinapak, Zainah Lantayan berkata, tiada bekalan air bersih mahupun air graviti disalurkan ke kampung mereka biarpun kemudahan jalan raya berturap sudah lama wujud.

ZAINAH LANTAYAN

Kampung tersebut terletak kira-kira 165 kilometer (km) dari bandar raya Kota Kinabalu, Sabah, dan 30 km dari jalan utama Pitas-Kota Marudu.

“Jika musim hujan, kami akan menadah air hujan tapi, apabila masuk musim kemarau, air sungai menjadi satu-satunya pilihan yang ada. Itulah air untuk minum dan itu juga digunakan untuk memasak.

“Masalah bekalan air di sini memang kritikal dan ia sudah disuarakan sejak saya bersekolah rendah lagi kerana bapa saya ketua kampung pada masa itu. Janji untuk salurkan bekalan air bersih, saya (sudah) dengar sejak dulu lagi.

“Sebetulnya tiada alasan lagi untuk bekalan air bersih mahupun air graviti tidak boleh dibekalkan ke kampung ini.

“Bekalan air graviti telah dibekalkan di Kampung Sinanggip yang terletak kira-kira lima kilometer dari sini. Jaraknya tidak jauh jadi, tidak mustahil bekalan air boleh disalurkan sampai ke kampung ini,” katanya.

Zainah berkata, dahulu ada perancangan menyalurkan bekalan air graviti tapi, difahamkan tiada kawasan tadahan air yang sesuai kerana bentuk muka bumi kampung itu yang berbukit bukau.

Dalam mesyuarat di Pejabat Daerah Pitas baru-baru ini, isu bekalan air bersih telah disuarakan dan pegawai daerah memberi jaminan untuk membangkitkan masalah penduduk di sini kepada pihak atasan.

Selain kampung itu, beberapa kampung lain seperti Kampung Maliau, Kampung Maliau Layung, Kampung Bambangan dan Kampung Perupok juga masih belum menerima bekalan bersih mahupun air graviti.

Maka, semua penduduk bergantung kepada air sungai yang dipam untuk kegunaan harian sama ada untuk memasak mahupun untuk dijadikan air minum.

Mengulas lanjut katanya, jalan-jalan di beberapa kampung itu masih lagi belum berturap dan menggunakan jalan batu kelikir.

Justeru, beliau mahu melihat jalan-jalan lain sekitar kampung mereka dinaik taraf demi kemudahan penduduk dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pinapak yang perlu berjalan kaki ke sekolah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya