SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan digesa untuk segera membina kawasan hentian untuk kenderaan di Jalan Temiang-Pantai atau lebih popular dengan jolokan Jalan New Zealand yang kini menjadi satu tarikan pemandangan indah kepada orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kasim berkata, gesaan itu memandangkan semakin ramai orang singgah di jalan tersebut untuk menikmati panorama menarik di sekitar laluan baharu itu.
Namun katanya, perbuatan menghentikan kenderaan di tepi jalan berkenaan adalah satu kesalahan trafik dan pemilik kenderaan boleh dikenakan saman oleh pihak berkuasa.
“Sejak pukul 7 pagi orang ramai singgah di jalan itu dan berlarutan hingga ke malam. Jumlahnya semakin ramai pada hujung minggu hingga ada yang datang dari negeri lain semata-mata kerana terpesona dengan keindahan pemandangan.
“Bagi memenuhi minat orang ramai, kawasan hentian perlu dibina supaya kenderaan dapat berhenti dengan selamat dan tidak mengganggu aliran lalu lintas,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika meninjau Jalan Temiang-Pantai di sini kelmarin.
Jalan Temiang-Pantai yang dibina dengan kos RM181 juta dibuka kepada orang ramai mulai 26 Ogos tahun lalu. Sejak itu, ia menarik persinggahan orang ramai yang tertarik dengan pemandangan indah sekitar kawasan itu.
Bagaimanapun, tindakan menghentikan kenderaan di kiri dan kanan jalan itu mengganggu aliran trafik terutamanya pada hujung minggu.
Sehingga Februari lalu, sebanyak 48 saman dikeluarkan oleh polis di laluan berkenaan mengikut Kaedah 53(1) LN 166/59 Peraturan-Peraturan Lalulintas.
Sementara itu Suhaimi berkata, kerajaan negeri patut melihat laluan itu daripada perspektif tarikan baharu untuk sektor pelancongan di negeri ini terutamanya sekitar mukim Pantai yang selama ini lebih dikenali sebagai kawasan kampung.
Beliau juga memaklumkan sudah membangkitkan isu pembinaan hentian untuk jalan itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri ini beberapa bulan lalu tetapi belum mendapat maklum balas seperti diharapkan. – UTUSAN