KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) akan diteruskan oleh Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd.
Perkara itu ditentukan ekoran keputusan Kabinet pada 18 Mei lalu yang bersetuju menyambung kontrak pelaksanaan projek kepada Dhaya Maju LTAT.
Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali memaklumkan, ekoran keputusan Kabinet, syarikat itu (plaintif) dan Kerajaan Malaysia mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman berhubung penamatan kontrak KVDT2.
Beliau berkata, Jemaah Menteri memutuskan KVDT2 diteruskan oleh Dhaya Maju LTAT dengan kos kontrak dikekalkan sebanyak RM4.475 bilion.
Ujarnya, skop projek dan terma pelaksanaan dikekalkan sebagaimana yang dipersetujui oleh Surat Setuju Terima bertarikh 19 Ogos 2019.
“Plaintif akan menarik balik saman itu selepas kontrak tersebut ditandatangani oleh kedua-dua pihak (kerajaan dan Dhaya Maju),” ujarnya kepada pihak media selepas sesi pengurusan kes di hadapan Hakim Lim Chong Fong hari ini.
Ujarnya, mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk pihak-pihak memaklumkan mengenai perkembangan penyelesaian kes saman itu.
Pada 27 Oktober 2020, Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Opus Consultants (M) Sdn. Bhd. dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selaku responden berhubung penamatan kontrak syarikat itu dalam projek KVDT2.
Pernyataan tuntutan Dhaya Maju LTAT antara lain mendakwa, notis penamatan rasmi tidak diserahkan kepada syarikat itu dan ia langsung tidak menyedari tentang penamatan itu sehinggalah diumumkan oleh Ka Siong dalam satu kenyataan media.
Pada 28 Ogos 2020, Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya akan membuka semula tender bagi projek KVDT selepas mengambil kira keputusan kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek yang di bawah Dhaya Maju LTAT terlalu mahal sewaktu pentadbiran PH.
Selain ganti rugi, Dhaya Maju LTAT memohon deklarasi bahawa keputusan menamatkan kontrak itu adalah tidak sah dan batal.
Dhaya Maju LTAT iaitu syarikat usahasama Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diperbadankan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016.
Pertikaian itu timbul selepas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dianugerahkan menerusi rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Tindakan itu turut melibatkan projek KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang diberikan kepada Dhaya Maju LTAT.
Pada 7 September 2020, Dhaya Maju LTAT turut memfailkan saman terhadap kerajaan dan Ka Siong memohon pengisytiharan bahawa keputusan membatalkan projek KVDT2 yang dianugerahkan pada 19 Ogos 2019 dan seterusnya membuka semula tender bagi projek itu, tidak sah dan batal.
Bagaimanapun, saman itu ditarik balik pada 14 Jun 2021 kerana syarikat itu turut memfailkan saman berhubung isu yang sama di hadapan Hakim Chong Fong. – UTUSAN