PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan penangguhan kutipan bayaran permit ke atas empat komoditi makanan ternakan terdiri daripada jagung, soya, gandum dan komoditi proses berasaskan haiwan dan tumbuhan bagi tujuan penyediaan makanan ternakan bermula hari ini.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan tersebut sebagai langkah memastikan sekuriti makanan dalam negara terjamin dengan memudah cara prosedur import ke atas empat komoditi makanan ternakan berkenaan.
Menurutnya, kutipan bayaran permit yang dikenakan sebelum ini ke atas komoditi jagung iaitu RM15 bagi setiap permohonan permit, gandum (RM15), soya (RM15) serta makanan ternakan lain berasaskan tumbuhan dan haiwan iaitu RM20 akan ditangguhkan.
“Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) juga akan melaksanakan proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara bagi komoditi tersebut dalam usaha melancarkan proses pengimportan sekali gus mengurangkan kos logistik yang terlibat dalam aktiviti pengimportan.
“Kos bahan mentah makanan ternakan yang tinggi dalam industri ternakan dikenal pasti sebagai salah satu faktor kenaikan harga bahan makanan seperti ayam bulat di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MAFI berkata, sebahagian besar komoditi bahan mentah bagi tujuan makanan ternakan itu diimport dari luar negara.
Justeru, katanya, penangguhan bayaran permit bagi pengimportan komoditi tersebut dapat membantu mengurangkan kos logistik dalam usaha menstabilkan harga makanan ternakan dalam negara.
Tambahnya, kementerian melalui Maqis akan terus komited dalam memudah cara urusan pengimportan bahan makanan ke dalam negara di samping memastikan semua kemasukan adalah bebas daripada isu-isu biosekuriti. – UTUSAN