Korek tanah: Tiga bukit 'digondol' - Utusan Malaysia

Korek tanah: Tiga bukit ‘digondol’

AKTIVITI mengorek tanah menyebabkan tiga bukit iaitu Bukit Kerayong, Bukit Kapar dan Bukit Cerakah gondol. Kerja-kerja pembersihan dan korek tanah di Bukit Kerayong, Kapar menyebabkan kawasan kampung sekitarnya kerap dilanda banjir lumpur di Klang, Selangor. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 5,000 penduduk dari tiga kampung di Kapar dan Petaling bimbang risiko berlaku banjir lumpur apabila tiga bukit di kawasan tersebut terus digondolkan untuk diambil tanah bagi tujuan penambakan.

Ini dilakukan bagi membina kilang tidak jauh dari situ.

Bukit-bukit tersebut ialah Bukit Kerayong, Bukit Kapar dan Bukit Cerakah dengan aktiviti menarah terus berlaku.

Keadaan bukit-bukit yang ‘botak’ itu boleh dilihat orang ramai yang melalui Jalan Meru Tambahan dari arah Puncak Alam dan Jalan Bukit Cerakah serta Jalan Bukit Kerayong berdekatan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang masih dalam pembinaan di Kapar.

Tanah-tanah yang ditarah diangkut menggunakan lori ke dua kawasan perindustrian seluas kira-kira 100 hektar di Jalan Kampung Bukit Kerayong yang tapaknya sudah dibersihkan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk resah apabila kawasan tiga bukit tersebut yang sebelum ini menjadi tadahan hujan kini digondol menyebabkan mereka terdedah dengan bencana banjir lumpur.

Penduduk mendakwa, mereka sudah beberapa kali mengalami kejadian banjir lumpur di kawasan-kawasan rendah walaupun hujan hanya sekejap.

Lebih membimbangkan penduduk, aktiviti penggondolan bukit itu juga menyebabkan jalan-jalan di kampung berkenaan digunakan lori-lori besar untuk mengangkut tanah keluar sehingga membahayakan kenderaan lebih kecil dan orang awam.

Disebabkan itu, penduduk kampung di kedua-dua kawasan berkenaan mengambil inisiatif meletakkan kayu secara melintang atas jalan seperti di Jalan Batu, Jalan Meranti, Jalan Haji Abdul Latif dan Jalan Bukit Payong bagi menghalang lori membawa tanah dipandu laju.

Penduduk mendakwa lori-lori tersebut dipandu terlalu laju terutama pada waktu pagi dan petang dan dibimbangi membahayakan keselamatan pelajar-pelajar sekolah yang turut menggunakan laluan sama.

Zailiyana Shambra, 42, yang tinggal di Jalan Batu berkata, tindakan pemandu-pemandu lori memandu dengan laju sememangnya merisaukan kerana jalan di kampung itu tidak sebesar jalan raya.

“Pada waktu pagi dan tengah hari, anak-anak penduduk di sini pergi dan balik sekolah, pada sebelah petang pula mereka melalui jalan sama untuk bermain dan bersiar-siar sama ada dengan basikal ataupun jalan kaki.

“Syukurlah sehingga kini belum lagi berlaku kemalangan, tetapi sejak dua atau tiga minggu kebelakangan ini saya lihat semakin banyak lori keluar dan masuk berbanding dahulu dan debu tanah bertebaran,” katanya ketika ditemui di sini.

Selain itu, Mohd. Faizal Mohd. Amin, 43, yang tinggal paling hampir dengan kawasan pengambilan tanah tersebut mendakwa, rumahnya kerap kali dilanda banjir lumpur dan dia pernah beberapa kali menegur kontraktor yang mengondol bukit tersebut supaya mengambil tindakan.

“Saya tegur sebab mereka tidak uruskan aliran air dengan baik apabila tanah tebing longkang lebih tinggi menyukarkan air masuk, air pula masuk dengan lumpur sekali menyebabkannya perlu diselenggara.

“Masalahnya mereka buat longkang ‘asal ada’, sebab itu banjir lumpur kerap berlaku. Dahulu tak pernah ada banjir lumpur atau air lalu, bahkan air yang mengalir dari bukit itu jernih, tetapi sejak aktiviti korek tanah yang bermula sekitar 2006 menyebabkan banyak kali masalah banjir lumpur berlaku,” kesalnya.

Dalam pada itu, Mohd. Faizal berkata, masalah berkenaan pernah diadukan kepada wakil penduduk termasuk Pegawai Daerah Klang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr. Daroyah Alwi, namun aktiviti korek tanah hanya terhenti sementara sebelum kembali bersambung.

Seorang penduduk di Kampung Bukit Kerayong yang enggan dikenali berkata, tanahnya juga nyaris dicuri kontraktor-kontraktor berkenaan.

Dakwanya, dianggarkan seluas 40 ekar tanah yang sedang dikorek itu adalah tapak-tapak yang mempunyai pemilik dan difahamkan kontraktor terbabit mendapat kebenaran daripada pihak berkenaan serta Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

“Memang atas tanah orang tetapi ada kebenaran, tetapi sampai begitu sekali dikoreknya. Bahagian belakang tanah saya pun nyaris dikorek, saya perasan dan sempat menghalang mereka, kalau tidak pasti runtuh sebahagian kawasan rumah sebab terletak di lereng bukit.

“Itu yang saya nampak, macam tanah-tanah lain itu kebanyakan pemiliknya tinggal di tempat lain. Saya tak pastilah jika mereka ada datang untuk lihat bagaimana keadaan tapak tanah sekarang yang mereka benarkan untuk dikorek,” jelasnya.

Katanya, terdapat tiga kontraktor melakukan kerja-kerja mengorek tanah di Bukit Kerayong, Bukit Kapar dan Bukit Cerakah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN