PUTRAJAYA: Pelaksanaan amalan bekerja dari rumah yang dilakukan ketika kemuncak penularan wabak Covid-19 ternyata memberi perubahan kepada gaya hidup ramai pekerja pejabat.
Keadaan itu terbukti apabila statistik Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan komputer riba menjadi peranti paling banyak dibuang bagi dijadikan sisa elektronik atau e-waste pada tahun lalu
“Ia paling tinggi dikumpul sepanjang tahun lalu dan menunjukkan kebergantungan manusia yang agak tinggi di negara ini,” kata agensi itu menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya.
Berdasarkan infografik dipaparkan, komputer riba mencatatkan 37 peratus daripada keseluruhan 133,524 unit produk elektrik yang dibuang di 197 buah pusat pengumpulan seluruh negara.
Ini diikuti telefon bimbit yang mengekori rapat dengan 31 peratus selain televisyen (26 peratus) serta masing-masing hanya dua peratus untuk mesin basuh, pendingin hawa dan peti sejuk.
Bagi memastikan rakyat tidak membuang produk tersebut di tempat tidak sepatutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air memperkenalkan hari pengumpulan e-waste sejak Januari tahun lalu yang dilaksanakan pada hari Sabtu minggu terakhir setiap bulan bagi menggalakkan masyarakat pelupusan e-waste dengan cara lebih selamat.
Mengulas lanjut, JAS berkata bahawa tidak ramai rakyat negara ini mempunyai kesedaran kepentingan pembuangan e-waste di lokasi betul yang akan memberi kesan kepada alam sekitar.
“Justeru, pastikan anda melupuskan e-waste secara mesra alam dengan dihantar ke pusat berdaftar sekiranya barangan elektrik di rumah atau tempat kerja didapati telah rosak,” jelasnya.- UTUSAN