PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan diramal berlaku di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta kebanyakan tempat di Selangor dan Negeri Sembilan sehingga pukul 2 petang ini.
Menurut MetMalaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Selangor melibatkan kawasan Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang manakala kawasan Jelebu serta Seremban bagi Negeri Sembilan.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
MetMalaysia menambah, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – UTUSAN