PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya dos ketiga vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang mengalami imunokompromi sederhana atau teruk di negara ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, syor itu dikeluarkan selepas dibincang dan diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) bagi Vaksin Covid-19 selepas merujuk kajian tahap keberkesanan dua dos vaksin terhadap golongan remaja di luar negara.
“Kajian itu mendapati tahap keberkesanan vaksin terhadap golongan itu menurun sebanyak 42 peratus hingga 73 peratus selepas lima hingga 10 bulan menerima dos kedua. Pada 14 April lalu, KKM mengumumkan pemberian dos penggalak kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.
“Namun berdasarkan situasi semasa tahap keberkesanan vaksin dalam kalangan remaja yang berisiko tinggi, TWG mengesyorkan supaya agihan dos penggalak dikategorikan semula sebagai dos ketiga sekali gus menjadi pelengkap kepada vaksinasi primer,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, setelah melengkapkan vaksinasi dos ketiga, barulah dos penggalak pertama boleh diberikan kepada individu yang mengalami imunokompromi sederhana atau teruk berusia 12 hingga 17 tahun.
Khairy berkata, langkah itu bertujuan memberi perlindungan optimum kepada kumpulan remaja ini daripada risiko mendapat jangkitan Covid-19 dengan gejala yang teruk.
Menurutnya, bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun berisiko tinggi, mereka terlebih dahulu perlu disahkan pakar perubatan kerajaan atau swasta sebelum dos ketiga diberikan iaitu sekurang-kurangnya lapan minggu selepas menerima dos kedua.
“Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun berisiko tinggi pula, mereka juga perlu disahkan terlebih dahulu oleh pakar perubatan kerajaan atau swasta dan suntikan boleh diberikan selepas 28 hari menerima dos kedua,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, bagi pemberian dos penggalak pertama kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun berisiko tinggi pula, mereka juga perlu disahkan pakar perubatan kerajaan atau swasta dan suntikan boleh diberikan selepas tiga bulan suntikan dos ketiga.
Dalam pada itu, Khairy berkata, beberapa kriteria ditetapkan untuk agihan dos penggalak kedua yang mana ia hanya untuk individu berisiko berumur 18 hingga 59 tahun dan petugas kesihatan barisan hadapan.
“Mereka juga berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang serius atau teruk selain petugas kesihatan barisan hadapan seperti pegawai perubatan, jururawat dan lain-lain. Suntikan dos penggalak kedua boleh diberikan sekurang-kurangnya enam bulan selepas menerima dos pengalak pertama dan setelah berbincang dengan mana-mana pengamal perubatan berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, KKM memperluas pemberian vaksin Can Sino Bio sebagai dos penggalak secara heterologus kepada penerima vaksin lengkap tanpa mengira jenis vaksin dos primer.
“Kriteria kelayakan bagi penerima dos penggalak Can Sino Bio ialah individu mestilah berumur 18 tahun dan ke atas dan telah menerima vaksin selain daripada vaksin jenis Can Sino Bio dan Sinovac yang telah diluluskan sebelum ini,” katanya.
Jelasnya, prosedur atau mekanisme bagi pelaksanaan pemberian dos ketiga bagi kanak-kanak dan remaja serta dos penggalak pertama bagi remaja, akan dimuktamad dan dimaklumkan dalam waktu yang terdekat. – UTUSAN