Khir Toyo tidak perlu 'come back', tetapi 'go back' - Jamal - Utusan Malaysia

Khir Toyo tidak perlu ‘come back’, tetapi ‘go back’ – Jamal

khir toyo
MOHAMAD KHIR TOYO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo dinasihatkan tidak perlu membuat ‘come back‘ untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Malah, beliau terus digesa supaya melupakan hasrat untuk mewakili UMNO/Barisan Nasional (BN) apabila kemenangan parti disifatkan lebih penting daripada memberi ruang kepadanya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, kumpulan penyokong bekas Menteri Besar Selangor itu disaran supaya lebih memfokuskan persediaan jentera pilihan raya UMNO.

“Soal kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih penting berbanding mencari strategi meletakkan Mohamad Khir sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Besar.

“Kepimpinan UMNO bahagian ketika ini tidak memikirkan soal calon namun mahu memastikan gerak kerja parti berjalan lancar bagi menghadapi dan memenangi pilihan raya nanti. Beliau tak payah ‘come back‘ (kembali), tetapi terus ‘go back‘ (pergi) sahaja,” katanya selepas meninjau harga ikan di Pasar Awam Sungai Besar, hari ini.

Pada 29 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan Mohamad Khir mengesahkan hasrat bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan bercita-cita mahu mengembalikan semula kerusi tersebut kepada UMNO/BN.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu memaklumkan bahawa beliau yakin dengan penerimaan dan sokongan kuat masyarakat tempatan terhadapnya.

Mengulas lanjut, Jamal sebagai ahli parti menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi bagi menentukan calon untuk bertanding kelak.

“Saya sudah mengaktifkan jentera pilihan raya sebaik diberi arahan Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 beberapa hari lalu. Selain itu, saya memanggil seramai 300 wanita Bahagian Sungai Besar untuk diberikan taklimat dan gerak kerja sayap berkenaan,” jelasnya.

Tegas beliau, semua ahli UMNO sama ada berjawatan atau tidak tidak sesekali cuba memecah belahkan perpaduan antara ahli bagi menghadapi PRU-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN