PARIT BUNTAR: Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan parti lain di bawah konsep ‘khemah besar’ sebagai penyelesaian agar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pembangkang hanya bertemu dengan satu musuh.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, PH menawarkan konsep itu kepada parti yang mahu menyertainya bagi memastikan matlamat satu lawan satu dapat direalisasikan pada PRU-15.
Katanya, konsep itu juga bertujuan mengukuhkan gabungan pembangkang bagi menghadapi PRU-15.
“Tawaran ini dibuat bagi mencari penyelesaian agar PRU nanti hanya bertemu dengan satu musuh. Jika ada yang bersetuju dengan tawaran kita buat dan tanpa ada apa-apa syarat, maka boleh bersama -sama dengan kita.
“Kalau tidak bersetuju, kita ucapkan terima kasih kerana itu hak mereka,” katanya selepas merasmikan Pusat Operasi dan Sukarelawan PH Parit Buntar di Kampung Kedah, di sini semalam.
Menurut Salahuddin, pendekatan khemah besar adalah satu usaha dan strategi agar tidak berlaku pertembungan sesama sendiri pada PRU-15, selain mahu menyatupadukan rakyat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.
Beliau berkata, namun ia bukan paksaan kepada parti lain.
“Kalau yang nak bersama, kita amat mengalu-alukannya. Bagi yang tidak mahu bersama, kita tidak memaksa kerana itu hak mereka,” katanya. – UTUSAN