PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 dikeluarkan pada 16 Jun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, semua calon boleh menyemak keputusan melalui tiga kaedah semakan iaitu mendapatkan di sekolah masing-masing, dalam talian dan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai pukul 10 pagi pada Khamis ini.
“Apa yang penting anak-anak perjalanan masih jauh, banyak ruang dan peluang di hadapan sana. Apa sahaja keputusan SPM nanti terimalah dengan hati terbuka dan terus bergerak ke hadapan dan lakukan yang terbaik,” katanya menerusi rakaman video di Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, bagi calon persendirian, slip keputusan peperiksaan dihantar melalui pos pada tarikh yang sama.
“Di samping itu, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan mulai pukul 10.00 pagi pada 16 Jun sehingga pukul 6.00 petang pada 24 Jun ini.
“(Kaedah lain) ialah secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan rumusan keputusan peperiksaan SPM 2021 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888,” katanya.
KPM berkata, sistem SMS ini diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada 16 Jun sehingga pukul 6 petang pada 22 Jun ini.
Untuk rekod, seramai 407,097 calon ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 menduduki peperiksaan pada 2 Mac lalu berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, sejumlah 85,700 calon peperiksaan itu direkodkan tidak dapat menduduki sesi pertama peperiksaan, kerana terkesan akibat jangkitan Covid-19 dan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
Mengikut pecahan, seramai 84,949 calon tidak dapat menduduki SPM disebabkan jangkitan Covid-19, manakala 751 lagi terkesan banjir. – UTUSAN