Keputusan kes saman Teresa terhadap Jamal 26 Julai - Utusan Malaysia

Keputusan kes saman Teresa terhadap Jamal 26 Julai

TERESA Kok Suh Sim hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan saman fitnah terhadap Jamal Md. Yunos. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 Julai ini bagi keputusan saman fitnah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim terhadap Datuk Seri Jamal Md. Yunos atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin menetapkan tarikh itu setelah peguam Datuk S. N. Nair yang mewakili Teresa memberitahu, pihak plaintif menutup kesnya hari ini.

Pada prosiding itu, pihak plaintif mengemukakan keterangan dua saksi termasuk Teresa dan wartawan Malaysiakini, Annabelle Lee.

Terdahulu, Jamal yang juga Ketua UMNO Sungai Besar tidak mengemukakan saksi defendan mahupun menyoal balas saksi-saksi plaintif pada perbicaraan tersebut.

Ketika mahkamah bersidang, Jamal yang tidak diwakili peguam berkali-kali memohon penangguhan atas alasan beliau memerlukan masa untuk melantik peguam baharu mewakilinya.

Jamal memaklumkan, beliau tidak yakin dengan khidmat peguam terdahulu dan menyifatkannya tidak bersungguh-sungguh ekoran pembelaannya ditolak oleh mahkamah.

Ketua UMNO Sungai Besar itu menjelaskan, beliau mempunyai hak untuk mendapat khidmat peguam yang bagus selepas pembelaannya ditolak.

“Saya harap mahkamah benar saya lantik peguam, saya tidak faham prosedur jadi tidak wajar saya jawab soalan mahkamah, saya bukan peguam,” jelasnya.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Arief tidak membenarkan penangguhan atas alasan kes itu sudah mengambil masa lima tahun sejak saman difailkan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh keputusan pada 26 Julai ini manakala kedua-dua pihak dikehendaki memfailkan hujahan bertulis berhubung liabiliti dan kuantum pada 15 Jun ini dan memfailkan hujahan balasan pada 22 Jun ini.

Teresa memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya