Keputusan kes saman Khairuddin 24 Ogos - Utusan Malaysia

Keputusan kes saman Khairuddin 24 Ogos

KHAIRUDDIN Abu Hassan (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes saman terhadap kerajaan berhubung penahanan dan pendakwaannya. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 Ogos ini bagi memutuskan saman Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam lagi berhubung penahanan dan pendakwaan terhadapnya, tujuh tahun lalu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu selaku plaintif menyaman lapan pihak termasuk Kerajaan Malaysia ekoran pendakwaannya di Mahkamah Majistret pada 2015 atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Hakim Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Andi Razalijaya A. Dadi memaklumkan pihak defendan menutup kesnya hari ini.

Hakim berkenaan memaklumkan keputusan pada hari tersebut akan diumumkan secara dalam talian kerana beliau kini bertugas di Pulau Pinang, selain menetapkan 13 Julai ini bagi memfailkan hujahan bertulis dan dijawab pada 27 Julai.

Terdahulu, Andi Razalijaya memaklumkan saksi terakhir iaitu salah seorang pegawai polis yang dinamakan dalam saman itu, C. Muniandy tidak hadir memberi keterangan kerana diserang angin ahmar.

Mahkamah selesai mendengar keterangan dua saksi plaintif dan tiga saksi yang mewakili pihak defendan manakala saksi terakhir ialah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Masri Mohd. Daud.

Dalam keterangannya, Masri berkata, pertuduhan terhadap Khairuddin bukan hanya bersandarkan kepada lima laporan polis di luar negara semata-mata, sebaliknya dibuat mengikut keterangan pihak lain.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Khairuddin membuat laporan di Perancis, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura kerana berpendapat pihak berkuasa Malaysia tidak mengambil tindakan efektif terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan negara terbabit mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan itu.

Menjawab soalan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili plaintif, Masri tidak bersetuju bahawa oleh kerana tiada tindakan dari pihak berkuasa, Khairuddin ke luar negara untuk membuat laporan.

Selain itu, Masri turut menyatakan beliau tidak pasti sama ada wujud keterangan daripada mana-mana ahli kewangan atau perbankan untuk membuktikan ada perlakuan sabotaj atau cuba mensabotaj seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Dalam keterangannya, Masri menyatakan, beliau selaku timbalan pendakwa raya ketika itu, dirujuk kali pertama dengan kertas siasatan pada 11 Oktober 2015 dan mendapat arahan untuk mengendalikan pendakwaan terhadap Khairuddin di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

“Selepas diarah untuk kendalikan kes ini, saya ada beri arahan lanjut agar pertuduhan diperkemas,” kata Masri.

Ujarnya, beliau kemudian mendapat arahan daripada Timbalan Peguamcara Negara 1 ketika itu, Datuk Tun Majid Tun Hamzah untuk menandatangani kertas pertuduhan ke atas Khairuddin.

Bagaimanapun, Masri menyatakan tidak mengetahui siapa yang membuat keputusan agar kes itu digugurkan pada 2017 kerana itu beliau telah berpindah ke tempat lain.

Ketika ditanya oleh Mohamed Haniff, Masri menyatakan beliau tidak tahu sama ada pendakwaan dilakukan atas niat curang atau sama ada wujud arahan pucuk pimpinan kerajaan ketika itu.

Masri juga menegaskan beliau tidak mengetahui sama ada cadangan tangkapan di bawah Sosma dan pertuduhan terhadap Khairuddin merupakan arahan kerajaan kepada polis dan pihak pendakwaan dalam usaha membanteras usaha plaintif mencari kebenaran.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes saman Khairuddin berhubung penahanan dan pendakwaannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Selain Mohamed Apandi, Khalid dan Masri, bekas SFC Awang Armadajaya Awang Mahmud, Asisten Suprintendan Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Suprintendan C. Muniandy, Suprintendan Habibi Majinji dan Kerajaan Malaysia turut dinamakan sebagai defendan-defendan.

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2018, plaintif mendakwa tindakan semua defendan menahan dan mendakwanya di mahkamah dilakukan dengan niat jahat dan melanggar hak kebebasannya di bawah Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa reputasi dan imejnya sebagai ahli politik telah terjejas.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM5.23 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Khairuddin mendakwa beliau ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Pada 23 September tahun sama selepas dibebaskan, plaintif ditahan semula mengikut SOSMA dan berada dalam tahanan sebelum dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L akta sama atas dakwaan cuba sabotaj.

Secara keseluruhan, plaintif ditahan selama 60 hari di penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap plaintif dan Khairuddin dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya