Keputusan kes Bung Moktar, Zizie Izette 2 September - Utusan Malaysia

Keputusan kes Bung Moktar, Zizie Izette 2 September

Bung Moktar Radin dan Zizie Izette
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 2 September ini bagi memutuskan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How menghujahkan, Zizie Izette yang merupakan tertuduh kedua mengetahui suaminya ahli politik terkenal yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif FLECRA serta berpengaruh.

Menurut beliau, walaupun mengetahui status suaminya, wanita itu masih memperkenalkan Perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar (saksi pendakwaan ke-25) dan Madhi Abdul Hamid (saksi pendakwaan ke-24) kepada Bung Moktar.

Menurut Chin How, Zizie Izette mendakwa RM2.8 juta yang diterimanya adalah introducer fee, bukannya rasuah.

“Tidak pernahkah Zizie berfikir tentang kesan dan akibat sekiranya beliau menerima RM2.8 juta itu sedangkan wang tersebut adalah berkaitan pelaburan FELCRA Berhad yang mana suaminya adalah Pengerusi bukan Eksekutif ketika itu,” pertikai pihak pendakwaan.

Chin How turut meghujahkan, introducer fee yang diterima Zizie Izette adalah bertujuan untuk mengaburi kaca mata masyarakat.

Dokumentasi

Pihak pendakwaan selanjutnya berhujah, Zizie Izette tidak melakukan kerja dokumentasi untuk pelaburan FELCRA Berhad atau memegang sebarang jawatan bagi melayakkan dia mendapat RM2.8 juta.

“Selepas wang tersebut diterima, Bung Moktar (tertuduh pertama) dan isterinya tidak pernah memaklumkan kepada ahli Lembaga pengarah FELCRA Berhad tentang penerimaan tersebut.

“Bung Moktar telah menggunakan pengaruhnya melalui perkenalan di antara beliau dan isteri dengan kedua-dua ejen berkenaan serta gagal melaporkan kepada ahli Lembaga FELCRA mengenai perkenalan mereka,” tambah pihak pendakwaan.

Sementara itu, peguan bela yang mewakili Bung Moktar iaitu M. Athimulan memberitahu, pemberian introducer fee merupakan strategi pemasaran Norhaili dan saksi itu sendiri memberikan wang itu kepada Zizie Izette kerana telah memperkenalkannya Bung Moktar.

Athimulan mengatakan Norhaili dan Madhi sendiri telah mengesahkan tertuduh pertama tidak pernah meminta rasuah.

Ketika perjumpaan kedua-dua saksi itu dengan Bung Moktar di Hotel Intercontinental pada 4 Mei 2015, Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga tidak langsung menyebut mengenai introducer fee atau komisyen.

Malah, peguam itu menegaskan, perjumpaan tersebut mengambil masa kurang 10 minit menyebabkan Norhaili dan Madhi tidak sempat untuk mengemukakan sebarang cadangan pelaburan.

Bung Moktar, 64, dibicarakan atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu pada masa, tempat dan tarikh sama.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya