Kementerian Kesihatan cari strategi atasi isu bekalan ubat kurang - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan cari strategi atasi isu bekalan ubat kurang

KHAIRY Jamaluddin (dua kanan) bersama penunggang p-hailing penghantar makanan pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Kesihatan mencari strategi bagi penyelesaian jangka masa sederhana dan panjang berhubung isu kekurangan bekalan ubat termasuk meneroka sumber baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha kementerian untuk melihat kepada isu gangguan bekalan ubatan itu terutama di klinik swasta dan farmasi pada masa ini.

Katanya, kekurangan ubat-ubatan tersebut melibatkan ubat biasa seperti untuk kanak-kanak, demam, selesema, antibiotik dan sebagainya disebabkan masalah rantaian bekalan.

“Untuk jangka masa sederhana dan panjang pula, saya minta Ketua Setiausaha lihat supaya gangguan bekalan ubatan ini kalau berlarutan, apa strategi kita.

“Ia sama ada mencari pasaran baharu termasuk mungkin negara sebelum ini tidak diterokai atau kerjasama rapat dengan industri farmaseutikal tempatan untuk pastikan pasaran tempatan dapat bangunkan rantaian supaya tidak terjejas,” katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kekurangan bekalan ubatan yang dilaporkan pada masa ini hanya melibatkan klinik swasta dan farmasi, manakala bekalan di fasiliti Kementerian Kesihatan termasuk hospital dan klinik kesihatan masih mencukupi.

“Untuk fasiliti di bawah kementerian, tiada kekurangan ubat-ubatan dan ia masih mencukupi. Kita memastikan supaya stok bekalan mencukupi, ada sedikit kekurangan di klinik swasta dan farmasi.

“Saya sudah arahkan perkhidmatan farmasi supaya bekerjasama rapat dengan Persatuan Farmasi Malaysia dan pengeluar ubat di Malaysia supaya mencari bekalan alternatif kalau berlaku kekurangan berterusan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan isu kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal yang dikatakan melibatkan rawatan demam, selesema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN