PETALING JAYA: Pelakon veteran terkenal, Mubarak Majid meluahkan rasa syukur selepas berjaya dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik (Best Actor) di Motion Horse International Film Festival (MHFF) 2022, menerusi filem Coofie And Sexy Dress, baru-baru ini.
Menurut Mubarak, dia juga menzahirkan rasa bangga kerana mendapat penghargaan selepas berpuluh tahun dirinya terlibat dalam bidang lakonan.
“Alhamdulillah, selalunya jika tercalon pada mana-mana anugerah hanya tersenarai dalam top lima atau top tiga sahaja. Tetapi tidak pernah menang.
“Bagi saya, ini kemenangan yang cukup membanggakan kerana sudah lama terlibat dalan bidang ini, saya diberi penghargaan.
“Kita pun nak kata apa kerana bukan kehendak dan tidak sangka. Kita hanya buat yang terbaik. Jadi, penghargaan tersebut mereka yang menilai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, pelakon drama popular Cukup Derita Itu turut menyifatkan dia hanya melakukan yang terbaik sebagai pelakon.
“Kita sebagai pelakon juga hanya melakukan yang terbaik dan termampu kerana lakonan ini bukan kita yang menilai, tetapi penonton.
“Untuk karya ini, apa karakter yang diberi kita cuba lakukan yang terbaik. Namun, kita cuma mengharapkan satu kejayaan yang besar. Alhamdulillah,” tuturnya lagi.
Mubarak berkata demikian ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2022 yang berlangsung di Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (Motac), Putrajaya, hari ini.
Sekadar informasi, filem terbitan Buffalo Orange Production itu juga berjaya memenangi tempat ketiga Best Foreign Film.- UTUSAN