Kemas rumah pusaka, terserempak ular sawa 30kg - Utusan Malaysia

Kemas rumah pusaka, terserempak ular sawa 30kg

ANGGOTA APM Alor Gajah berjaya menangkap ular sawa seberat 30kg di sebuah rumah di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sebuah keluarga di Kampung Belimbing Dalam di sini berdepan detik cemas selepas terserempak seekor ular sawa seberat 30 kilogram (kg) ketika membersihkan laman rumah bagi majlis perkahwinan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari kelmarin, ular sawa sepanjang sembilan meter tersebut berjaya ditangkap dengan bantuan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Alor Gajah.

Menurut Affandy Bakar, 32, reptilia itu ditemuinya ketika dia bersama rakan membersihkan longgokan kayu yang turut mengeluarkan bau hanyir.

“Sepupu saya akan melangsungkan perkahwinannya di rumah pusaka nenek ini pada 25 Jun ini, jadi kami sekeluarga bergotong-royong membersihkan laman rumah. Ketika ingin membersihkan longgokan kayu, saya terbau benda hanyir dan alangkah terkejutnya apabila terdapat ular sawa di bawahnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Jelasnya, dia cuba memberanikan diri menangkap ular tersebut, namun membatalkan hasrat selepas menyedari reptilia itu panjang dan bersaiz besar.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kes menangkap ular (KMU) pukul 2.25 petang.

“Pengadu memaklumkan terdapat ular di bawah timbunan kayu dan sepasukan empat anggota telah dikejarkan ke lokasi untuk operasi KMU. Bagaimanapun, setiba di lokasi kita dapati terdapat dua ekor ular dengan seekor daripadanya adalah seberat 30kg dan sepanjang sembilan meter,” katanya.

Tambahnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkapnya dan dipercayai ia datang dari kawasan paya berhampiran rumah pusaka berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya