KOTA BHARU: Umat Islam di negeri ini dibenarkan melakukan ibadah korban di kawasan rumah masing-masing pada sambutan Hari Raya Aidiladha bulan depan selepas negara melangkah ke fasa peralihan endemik.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya mengekalkan pemakaian pelitup muka.
“Kita turut menggalakkan orang ramai menjaga penjarakan fizikal,” kata beliau selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Maik di Kompleks Balai Islam Lundang di sini, hari ini.
Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, Maik akan mengambil dan mengeluarkan ketetapan sebagaimana digariskan oleh kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri setakat ini tidak menetapkan SOP tambahan sepanjang majlis tersebut berlangsung nanti.
“Masyarakat di negeri ini yang ingin melakukan ibadah korban hanya perlu menggunakan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Apa yang penting, kita sama-sama menjaga SOP sedia ada,” ujarnya.
Tahun lalu, kerajaan Kelantan tidak menggalakkan ibadah korban dilakukan pada Aidiladha dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Ini berikutan sekiranya acara korban dilakukan, berlaku aktiviti berkumpulan yang boleh menyebabkan penularan Covid-19.- UTUSAN