Kedah perkenal durian J. Sparrow dan durian Jerai

Kedah perkenal durian J. Sparrow dan durian Jerai

AZMAN Nasrudin (tengah) bersama Pengarah Pertanian Kedah, Ramli Abdul Rahman (kiri) dan Teoh Seng Khoon menunjukkan dua vakrieti durian baharu bagi negeri Kedah di Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jabatan Pertanian Negeri Kedah memperkenalkan dua varieti durian baharu dikenali D216 (J. Sparrow) dan D217 (Jerai) yang ditanam di ladang durian di Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Azman Nasrudin berkata, dua varieti raja buah tersebut telah didaftarkan sejak tahun lalu sebagai varieti durian klon yang khusus untuk negeri ini.

Menurut beliau, durian klon jenis J. Sparrow dan Jerai itu mempunyai ciri-ciri istimewa yang setanding dengan ciri-ciri varieti durian yang terkenal di negara ini dan dijangka menjadi pilihan pengemar-pengemar buah itu.

“Sebelum ini negara kita terkenal dengan durian klon jenis D197 (Musang King) dan durian D200 (Duri Hitam) sahaja namun kali ini, kita tawarkan pula durian J. Sparrow dan durian Jerai.

“Saya yakin ciri-ciri istimewa dari segi bentuk, saiz dan yang ada pada dua jenis varieti baharu ini akan menjadi pilihan pengemar durian di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan durian klon itu di ladang berkenaan, hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, antara ciri-ciri durian J. Sparrow ialah warna isi utamanya perang kuning muda dan mempunyai aroma sederhana manakala purata kemanisannya pula adalah 35.3 peratus Brix dan kepahitan  yang sederhana.

“Durian Jerai pula warna isi utamanya adalah kuning muda dan ia mempunyai aroma yang kuat, purata kemanisannya pula adalah 35 peratus Brix dan kepahitan sederhana serta mempunyai tekstur sederhana kasar dan rasa berkrim yang kuat,” katanya.

Azman berkata, pihaknya mengharapkan pengusaha varieti durian itu dapat memperbanyak pokok durian sedemikian untuk pasaran lebih meluas selain hanya di Kedah.

“Kini bilangan tanaman pokok varieti J. Sparrow terdapat tujuh pokok sahaja, manakala 10 pokok bagi varieti durian Jerai,” jelasnya.

Sementara itu, pengusaha ladang, Teoh Seng Khoon berkata, pada masa ini orang ramai yang ingin merasai kedua-dua durian klon itu boleh datang terus ke ladang berkenaan kerana durian itu belum dijual di pasaran.

Beliau berkata, durian J. Sparrow berharga antara RM35 hingga RM45 bagi sekilogram dan RM20 hingga RM35 sekilogram bagi durian Jerai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya