Kebun sayur, buah-buahan dalam sekolah - Utusan Malaysia

Kebun sayur, buah-buahan dalam sekolah

MOHD. Syahbuddin Hashim (kiri) merasmikan Projek Agro School di SK Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya di sini mewujudkan usaha penanaman lebih 1,000 sayur-sayuran dan pokok buah-buahan secara berkelompok di tanah terbiar di kawasan sekolah.

Sejak setahun lalu, projek ‘Agro School’ itu dilaksanakan murid-murid, guru dan ibu bapa bagi menjana pendapatan serta melakukan inisiatif sendiri mengurangkan bebanan keperluan setempat bekalan makanan dan sayur-sayuran.

Guru Penyelaras Agro School SK Lepan Jaya, Mohd. Jailani Mat Jusoh berkata, bagi tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran sudah berjaya dituai hasil.

Katanya, SK Lepan Jaya menjadi pelopor Projek ‘Agro School’ di kawasan luar bandar.

“Idea projek ini timbul selepas melihat banyak tanah terbiar di sekolah selain ingin mendedahkan aktiviti pertanian kepada murid-murid, guru dan ibu bapa.

“Hasil tanaman seperti terung, cili, sawi, betik, nangka, durian Musang King dan kelapa sawit bukan sahaja boleh membantu pihak sekolah menjana pendapatan tetapi juga membantu masyarakat setempat yang kekurangan bekalan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Agro School di SK Lepan Jaya di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Sementara itu, Mohd. Syahbuddin memuji usaha pihak sekolah dan memberi galakan kepada penduduk di kawasan luar bandar di daerah ini mengusahakan tanaman di tanah terbiar di sekitar kawasan perumahan.

Katanya, selain menjana pendapatan keluarga, kawasan pertanian yang diusahakan mampu menangani isu kekurangan bekalan makanan yang dihadapi kini.

“Kita memberi galakan kepada suri rumah untuk berkebun dengan mengusahakan kebun sayur atau fertigasi di kawasan rumah.

“Saya berharap semua penduduk mengambil peluang kerana kita perlu bersiap sedia dengan kekurangan makanan dalam tempoh dua tahun lagi. Maka kita perlu ambil peluang bertani dari sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya