KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 peluang pekerjaan bakal disediakan melalui BN Youth Job Fair yang berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, karnival yang bakal berlangsung pada 9 pagi hingga 5 petang itu adalah kesinambungan daripada kejayaan penganjuran sebelum ini.
Menurut beliau, disebabkan pasca pandemik ia penting untuk pergerakan itu menjadi jambatan kepada pelbagai inisiatif kerajaan dan juga pihak swasta bagi membuka peluang serta ruang pekerjaan yang ada.
“Ini terutamanya kepada golongan muda, tidak kira sama ada mereka hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat lebih tinggi seperti Ijazah Sarjana turut boleh sama-sama hadir.
“Ini adalah satu inisiatif yang kita menjangkakan dapat memberi tawaran lebih daripada 20,000 peluang pekerjaan kepada anak muda.
“Lebih daripada 300 agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta akan turut serta untuk karnival kali ini. Ini menandakan peluang yang baik untuk anak-anak muda kerana terdapat pelbagai bentuk serta kerjaya yang sesuai dengan setiap daripada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Asyraf Wajdi turut meminta setiap anak muda yang bakal mengambil bahagian di dalam karnival kerjaya tersebut untuk berpakaian kemas kerana ia mempunyai temuduga kerja secara langsung.
“Jadi bawa dokumen-dokumen diperlukan seperti resume, berpakaian kemas dan datang seawal mungkin,” katanya.
Jelasnya, karnival kerjaya itu turut mempunyai acara-acara saringan seperti klinik untuk resume, ceramah daripada pelbagai profesional.
“Klinik untuk resume itu adalah untuk membantu golongan muda menyediakan biodata dan resume yang terbaik, bagaimana nak berhadapan dengan temuduga.
“Di samping itu, ceramah daripada pelbagai professional untuk memberi pencerahan berkenaan dengan industri-industri yang ada supaya anak-anak muda ni lebih memahami,” jelasnya. – UTUSAN