Kaedah imaginasi bantu sebut, cam huruf hijaiyah

Kaedah imaginasi bantu murid sebut, cam huruf hijaiyah

KAEDAH dan lukisan imaginasi huruf yang digunakan Rozita Abdullah dalam kajian tindakannya ketika berada di SK Paya Terendam, Sik, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Minat melukis mural robot dan lain-lain di sekolah tidak menghalang seorang guru membuat kajian tindakan bagi membolehkan murid membuat perkaitan antara bentuk huruf hijaiyah dan bunyinya sekali gus membantu mereka menghafal.

Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Terendam di sini, Rozita Abdullah berkata, ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) subjek itu, murid didapati tidak dapat membaca kalimah pelbagai baris yang diceraikan menjadi huruf tunggal hijaiyah berbaris Fathah.

Katanya, semasa sesi tasmik yang menggunakan kaedah Iqra, didapati tiga daripada 19 murid tahun dua masih berada di tahap Iqra satu yang sepatutnya mereka kuasai semasa di tahun satu.

“Murid dikenal pasti tidak dapat mengecam huruf yang disusun secara rawak, ia menyukarkan bagi mereka untuk membezakan dan mengingat bunyinya serta mudah lupa.

“Kaedah Iqra biasa yang mengandungi teknik bacaan sebelum ini didapati kurang berkesan dan guru perlu membina satu kaedah baharu untuk bantu murid mengingat dengan mengaitkan antara huruf dan bunyi agar membolehkan mereka menyebut bunyi huruf hijaiyah berbaris Fathah,” katanya di sini, semalam.

ROZITA Abdullah menunjukkan lukisan mural yang dihasilkan di SK Paya Terendam  di Sik, Kedah.

Rentetan itu, Rozita yang sudah lebih 20 tahun berada dalam dunia pendidikan melakukan kajian tindakan bertajuk ‘Meningkatkan Kemahiran Menyebut Bunyi Huruf Hijaiyah Berbaris Fathah Murid Tahun Dua Semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)’.

“Di sini, ia menekankan keperluan guru memahami situasi sosial sebenar dalam PDP yang sebenar dengan tujuan memperbaiki amalan guru serta pendekatan penyelidikan yang berusaha mempertingkat mutu profesionalisme guru,” katanya.

Menurut beliau, objektif kajian adalah membangunkan kaedah pengajaran yang berkesan bagi meningkatkan kemahiran dan menyebut bunyi huruf hijaiyah yang berbaris Fathah dalam kalangan murid tahun dua.

Selain itu, katanya, ia meningkatkan kemahiran menyebut bunyi huruf berkenaan melibatkan tiga murid terlibat dengan menggunakan kaedah imaginasi huruf.

“Kajian ini melibatkan empat proses iaitu observe, reflect, plan dan act yang mana kitarannya berulang dalam proses sama. Imaginasi huruf adalah satu kaedah yang dapat membantu murid untuk meningkatkan kemahiran, mengecam dan menyebut huruf hijaiyah berbaris Fathah dengan berkesan.

“Cadangan penambahbaikan kajian seterusnya adalah dengan melukis benda pada huruf berdasarkan perkataan yang lebih jelas, mudah, tepat dari segi tajwid dan lebih dekat dengan kehidupan murid. Benda yang diimaginasi pada huruf ini juga perlu dipersembah dengan cara lebih menarik seperti animasi dan warna,” katanya.

Sementara itu, hasil daripada kajian tindakan itu, Rozita berjaya memenangi tempat pertama bagi Kajian Tindakan Sekolah Rendah dalam Persidangan Penyelidikan Kebangsaan kali ke-16 anjuran Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn, baru-baru ini.

Beliau yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dalam persidangan itu turut pernah menerima sebanyak empat kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), peserta terbaik Kajian Tindakan Peringkat Negeri Kedah 2021 dan Anugerah Guru Inovatif serta Guru Adiwira sempena Hari Guru Peringkat Daerah Sik.

Katanya, keluarga, barisan pentadbiran SK Paya Terendam dan rakan- rakan guru banyak memberikannya semangat dan dorongan serta ruang untuk berkarya serta membuat kajian dan penyelidikan dalam pendidikan selama ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya