Johor kaji semula cuti hujung minggu Jumaat, Sabtu

Johor kaji semula cuti hujung minggu Jumaat, Sabtu

 ONN Hafiz Ghazi berucap menyampaikanAmanat Menteri Besar Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu negeri ini yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kajian itu dibuat ekoran terdapat keluhan daripada masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan.

Katanya, perkara itu dikaji semula bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari sama. 

“Mendengar keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza untuk kerajaan dan pihak swasta. Kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini agar ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari sama. 

“Perkara ini akan saya umumkan kelak setelah mendapat kaedah yang paling tuntas untuk menyelesaikannya,” katanya ketika menyampaikan Amanat Menteri Besar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Keputusan itu dibuat selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan golongan lelaki beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.

Johor  pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994. Malah negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Terenganu turut mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu di negeri tersebut.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri serius mahu mengubah budaya kerja dengan meningkatkan keberkesanan, keseragaman dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam supaya pelabur lebih tertarik untuk datang melabur di Johor. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya