SEREMBAN: Jemaah di masjid dan surau di Negeri Sembilan kini dibenarkan untuk merapatkan saf mereka bagi aktiviti solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat.
Sehubungan itu, para jemaah tidak lagi wajib membawa sejadah bersaiz standard mengikut aturan yang ditetapkan sebelum itu.
Keputusan terbaharu tersebut menerusi prosedur operasi standard (SOP) aktiviti di masjid, surau jumaat dan surau di negeri ini dalam fasa endemik yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
SOP yang berkuat kuasa bermula esok itu juga bagaimanapun masih menetapkan supaya jemaah wajib untuk memakai pelitup muka ketika berada di dalam ruang masjid dan surau yang tertutup.
Sebelum ini, kerajaan Negeri Sembilan menetapkan penjarakan fizikal ketika solat jemaah dan wirid di semua masjid dan surau di negeri ini ditetapkan mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.61 meter lebar dan 1.22 meter panjang.
Sementara itu, JHEAINS menerusi SOP sambutan Aidiladha dan ibadat korban yang dikeluarkan membenarkan untuk ibadat korban dilakukan di masjid, surau Jumaat dan surau.
Sehubungan itu, pemohon atau penganjur yang ingin melaksanakan ibadat korban hendaklah membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS di pautan http://equrbans.jheains.my
Permohonan tersebut boleh dibuat bermula esok dan berakhir pada 3 Julai ini. – UTUSAN