JOHOR BAHRU: Jemaah haji dinasihatkan untuk menjaga kawalan kendiri dan penjarakan sosial termasuk ketika mengadakan kenduri doa selamat bagi mengelakkan dijangkiti wabak Covid-19 sebelum berlepas ke tanah suci bagi menunaikan Rukun Islam Kelima.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu diingatkan selepas terdapat bakal jemaah haji daripada kumpulan pertama disahkan positif dipercayai selepas mengadakan majlis keraian tersebut.
Katanya, seramai tiga individu daripada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia didapati positif Covid-19 hasil ujian pengesanan RT-PCR yang dijalani sebelum berlepas.
“Oleh itu, kita harapkan supaya mereka lebih berjaga-jaga sewaktu kenduri, mungkin datang tetamu tak sihat membawa virus menyebabkan berlaku penularan wabak.
“Saya difahamkan terdapat bakal jemaah haji yang dikesan positif itu disyaki dijangkiti Covid-19 ketika mengadakan kenduri.
“Nak buat kenduri tidak ada masalah, tapi diingatkan supaya jaga diri dan jaga prosedur operasi standard (SOP), bimbang jadual penerbangan terjejas disebabkan positif Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Mahrajan Memanah Recurve Sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan Kali ketiga di Arena Emas, Taman Impian Emas, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata, bakal jemaah yang positif tidak perlu panik kerana mereka masih lagi untuk menaiki penerbangan seterusnya setelah selesai menjalani kuarantin dan didapati negatif.
Beliau berkata, urusan bakal jemaah haji yang dijangkiti penyakit itu akan diuruskan sepenuhnya pihak Tabung Haji (TH).
“Kalau positif, ada masa lagi (untuk jalani kuarantin) kerana penerbangan terakhir ke Tanah Suci akan berlepas pada awal Julai depan.
“Setelah habis menjalani kuarantin mereka perlu membuat saringan sekali lagi dan apabila keputusannya positif, Insya-Allah boleh terbang.
“Tidak ada keperluan untuk menyediakan penerbangan tambahan melainkan satu kapal terbang positif (Covid-19). Jika seorang atau dua itu mungkin tidak ada masalah, TH boleh uruskan,” katanya.
Semalam, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, tiga daripada 298 jemaah haji kumpulan pertama ke Tanah Suci bagi musim 1443H/2022, disahkan positif Covid-19. – UTUSAN